Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal


Tarikh kemaskini: 08/12/2019





KUALA TERENGGANU, 8 Dis -- Tinjauan pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNHEP) Terengganu mendapati kenaikan harga barangan basah dan sayur-sayuran di negeri ini masih terkawal meskipun terdapat sedikit peningkatan berikutan musim tengkujuh dan selepas bencana banjir.

Pengarahnya, Shaharuddin Mohd Kia berkata pihaknya telah menjalankan pemantauan berterusan ke atas barangan seperti ikan, ayam, daging dan buah-buahan bagi mengelak para peniaga mengambil kesempatan.

"Untuk musim tengkujuh kita telah memantau harga bagi 35 jenis ikan, 35 jenis sayuran dan 22 jenis barangan kering seperti bawang dan ubi kentang.

"Berdasarkan pemantauan kita dapati bekalan ikan hanya beberapa 'item' sahaja yang mengalami kenaikan seperti ikan tongkol, ikan kerisi dan ikan selayang manakala sayuran pula yang mengalami kenaikan ketara ialah tomato, kubis bulat import dan kangkung," katanya kepada pemberita selepas menjalankan pemantauan harga di Pasar Payang, hari ini.

Beliau berkata kenaikan harga ikan dan sayur-sayuran berpunca daripada kos pengangkutan kerana peniaga terpaksa mendapatkan bekalan dari luar seperti Johor, Perak dan Thailand.

Mengulas lanjut Shaharuddin berkata bagi menanggani kenaikan harga dan kekurangan stok barangan keperluan pada musim tengkujuh, pihak KPDNHEP juga telah melaksanakan pelan kontingensi dengan kerjasama pihak pengurusan bencana negeri sejak 16 Okt lepas.

Antaranya melantik seramai 51 pemegang stok mini dari pelbagai peringkat seperti pemborong minyak masak, gandum, gula, gas petrol cecair (LPG), stesen minyak dan juga pasaraya untuk mereka menyimpan stok melebihi 30 peratus daripada jumlah yang dibenarkan pada waktu biasa.

"Selain itu kita juga melantik 38 premis terpilih di peringkat pasaraya dan pemborong bagi memastikan kedudukan bekalan terutama barang kawalan sentiasa mencukupi untuk keperluan pengguna," katanya.

Sementara itu seorang peniaga ikan di Pasar Payang, Asri Zakaria berkata kenaikan harga ikan ketika musim tengkujuh adalah perkara biasa kerana stok bekalan kurang manakala permintaan pula naik mendadak.

Beliau berkata ikan tongkol, ikan kembung, ikan selayang dan kerisi mengalami peningkatan harga ketara kerana ia merupakan jenis ikan yang mendapat permintaan tinggi oleh penduduk Terengganu, dan ada bekalan ikan terpaksa diambil dari stok ikan beku luar kerana nelayan tempatan langsung tidak keluar ke laut.

"Walaupun stok beku, harga masih sama seperti harga ikan segar iaitu RM20 sekilogram kerana susah nak dapat bekalan. Begitu juga ikan tongkol yang harga biasa RM8 sekilogram tetapi lepas banjir ni dah naik sehingga RM12 sekilogram," katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Penggiat industri pelancongan Johor telah diberi taklimat berhubung koronavirus - Exco

 
     

Pengusaha cendawan turut terjejas akibat cuaca panas

 
     

Tapak relau peleburan besi purba ditemukan di Kedah

 
     

Usah biarkan warisan di Kota Bukit Supai terus sepi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel