Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR


Tarikh kemaskini: 08/12/2019





MELAKA, 8 Dis -- Sidang perwakilan Kongres Nasional PKR 2019 dan pucuk pimpinan parti hari ini diingatkan bahawa kehadiran dalam mesyuarat parti adalah satu mandat dan tanggungjawab yang harus ditunaikan setiap pemimpin.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata untuk menterjemah mandat dan legitimasi kekuasaan yang diberi oleh parti dan rakyat, pemimpin mesti bermusyawarah.

Jelasnya, PKR sebagai sebuah parti yang mendokong agenda reformasi sentiasa melaksanakan prinsip itu, dan pemimpin harus melakukannya.

“Untuk itu setiap pemimpin harus tampil dalam mesyuarat, di situ kita menentukan setiap keputusan mengenai parti, dasar, polisi, disiplin dan masalah rakyat dibentangkan.

”…paling mudah adalah hadir ke mesyuarat, itu sahaja. Cakaplah dalam mesyuarat, bukan cakap dalam media,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), yang tamat hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada isu disiplin dan organisasi yang disentuh pembahas semasa  sesi perbahasan ucapan dasar presiden semalam.

Saifuddin Nasution, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna turut mengulangi pendirian parti dan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang sudah bersetuju sebelum Pilihan Raya Umum bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri kelapan, mengambil alih kepimpinan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad apabila tiba masanya.

Setiausaha Agung parti itu antara lain turut mengambil peluang memberi penjelasan kepada perwakilan mengenai isu pemecatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Zakaria Abdul Hamid, yang didakwa terbabit dalam isu rasuah ketika pemilihan parti tahun lepas.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Penggiat industri pelancongan Johor telah diberi taklimat berhubung koronavirus - Exco

 
     

Pengusaha cendawan turut terjejas akibat cuaca panas

 
     

Tapak relau peleburan besi purba ditemukan di Kedah

 
     

Usah biarkan warisan di Kota Bukit Supai terus sepi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel