Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

LTTE: Permohonan ikat jamin dua ADUN, ketua pegawai perbadanan didengar Isnin


Tarikh kemaskini: 11/12/2019





MELAKA, 11 Dis  -- Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menetapkan 16 Dis untuk mendengar permohonan ikat jamin yang difailkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang ketua pegawai perbadanan atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE, November tahun lepas. 

Hakim Elesabet Paya Wan menetapkan tarikh itu sementara menunggu pihak pendakwaan memfailkan afidavit balasan, esok, terhadap tiga notis usul yang dikemukakan pihak pembelaan.

Terdahulu, peguam Damian Yeo Shen Li mewakili ADUN Gadek, G. Saminathan, 34; ADUN Seremban Jaya, P. Gunasekaran, 60, dan ketua pegawai perbadanan, S. Chandru, 38, memberitahu permohonan itu difailkan Saminathan dan Gunasekaran pada 4 Dis manakala Chandru memfailkan permohonan pada 9 Dis.

Ketiga-tiga tertuduh tidak hadir pada prosiding pengurusan kes hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos berkata pihaknya telah menerima tiga notis usul pendengaran permohonan membenarkan ikat jamin dan memohon mahkamah menetapkan tarikh pendengaran pada 16 Dis serentak dengan tarikh sebutan semula kes bagi ketiga-tiga tertuduh yang sebelum ini didakwa berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

Pada 29 Nov lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan Saminathan dibenar mengemukakan permohonan untuk diikat jamin memandangkan Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) adalah tidak berpelembagaan.

Pada 1 Nov lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Rozina Ayob memutuskan bahawa terdapat merit dalam permohonan pembelaan mengikut Seksyen 13(2) SOSMA bagi merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah itu membenarkan permohonan Saminathan dan 11 lelaki untuk merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.

Selain tiga tertuduh itu, mereka yang lain ialah pemandu teksi V. Balamurugan, 37; penghantar surat S. Teeran, 38; peniaga besi buruk A. Kalaimughilan, 28; juruteknik S. Arivainthan, 27; penjaga stor S.Thanagaraj, 26; pengawal keselamatan M. Pumugan, 29; seorang guru sekolah menengah kebangsaan di Telok Panglima Garang, Selangor, Sundram Renggan @ Rengasamy, 52; ahli DAP V. Suresh Kumar, 43; dan peniaga B. Subramaniam, 57.

Kesemua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan di beberapa negeri pada 29 dan 31 Okt lepas atas pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas LTTE.  

-- BERNAMA 

 


 

   

 
 
     
   
 

Penggiat industri pelancongan Johor telah diberi taklimat berhubung koronavirus - Exco

 
     

Pengusaha cendawan turut terjejas akibat cuaca panas

 
     

Tapak relau peleburan besi purba ditemukan di Kedah

 
     

Usah biarkan warisan di Kota Bukit Supai terus sepi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel