Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sultan Selangor berkenan hadir ke Jamuan Teh Diraja


Tarikh kemaskini: 11/12/2019





KLANG, 11 Dis -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menghadiri Jamuan Teh Diraja sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-74.

Baginda, yang diiringi oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin tiba pada jamuan berkenaan yang dianjurkan di perkarangan Istana Alam Shah di sini kira-kira pukul 3.50 petang.

Turut sama mengiringi baginda ke jamuan berkenaan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Yang turut hadir pada jamuan yang dianjurkan setiap kali hari keputeraan baginda itu ialah barisan exco kerajaan negeri dan para pegawai kanan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Pada jamuan itu, hadirin dihiburkan dengan tarian tradisional Melayu antaranya Tarian Piring, Tarian Inang Cinta dan Joget Layang Lambung daripada penari Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor.

Dianggarkan 3,000 orang menghadiri majlis jamuan berkenaan yang turut dihiburkan dengan persembahan muzik dan nyanyian kumpulan muzik Majlis Perbandaran Subang Jaya. 

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dalam ucapannya berkata rakyat Selangor bertuah kerana mempunyai seorang Sultan yang bukan hanya berjiwa rakyat malah berilmu dan mempunyai banyak pengalaman berharga.

"Telah banyak pengalaman yang Tuanku peroleh dengan mengembara di seluruh dunia, dari belayar membelah samudera sehinggalah berkereta merentas benua, segala pengalaman di negeri orang selama ini telah menjadi sumber ilham untuk Tuanku menjadikan Selangor sentiasa makmur dan sentosa.

"Begitu juga dengan kecintaan Tuanku dengan ilmu, patik sekalian amatlah maklum akan kegemaran Tuanku yang sering bertemankan buku dan bergaul dengan para ilmuan, ilmu dan pengalaman luas ini menjadikan Tuanku amat arif dengan selok belok pentadbiran untuk memberi panduan kepada menteri besar dan barisan kepimpinan negeri dalam mentadbir Selangor yang dicintai ini," katanya.

Pada jamuan itu juga Sultan Sharafuddin berkenan menerima cenderahati daripada kerajaan negeri berupa replika kapal yang diperbuat daripada emas yang dibawa dari Makasar, Indonesia dan arca pemandangan rumah daripada Majlis Perbandaran Klang yang mewakili semua pihak berkuasa tempatan di Selangor.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Penggiat industri pelancongan Johor telah diberi taklimat berhubung koronavirus - Exco

 
     

Pengusaha cendawan turut terjejas akibat cuaca panas

 
     

Tapak relau peleburan besi purba ditemukan di Kedah

 
     

Usah biarkan warisan di Kota Bukit Supai terus sepi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel