Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

JAS Negeri Sembilan sita kilang disyaki lepaskan enap cemar minyak hitam terpakai


Tarikh kemaskini: 12/12/2019





SEREMBAN, 12 Dis  -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan menyita sebuah kilang haram di Jalan Mambau-Rantau dekat sini, yang disyaki menjalankan kegiatan pelepasan enap cemar daripada minyak hitam terpakai dan mengitar semula minyak enjin terpakai secara haram.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan berkata enam pegawai JAS Negeri Sembilan diketuai Timbalan Pengarahnya S. Sivanathiran telah ke lokasi pada pukul 11 pagi tadi untuk menjalankan pemeriksaan dan siasatan.

"JAS yang tiba dilokasi mendapati bahagian hadapan kilang haram itu adalah sebuah bengkel kereta manakala di bahagian belakang terdapat beberapa buah tangki di mana minyak hitam terpakai disimpan secara haram. Serbuan ini adalah atas maklumat orang awam.

Pemeriksaan JAS juga mendapati terdapat stok minyak hitam terpakai yang disimpan di beberapa buah tangki di bahagian belakang kilang haram tersebut," katanya kepada pemberita di lokasi di sini, hari ini. 

Katanya siasatan awal mendapati terdapat kegiatan pelepasan enap cemar daripada minyak hitam terpakai ke kawasan paya berhampiran yang mana enap cemar minyak enjin terpakai ini bertakung di kawasan paya berkenaan.

Katanya enap cemar seperti ini diklasifikasikan sebagai 'sisa berjadual' yang sepatutnya dilupuskan di Kualiti Alam Waste Management Centre, Port Dickson, tetapi pihak tidak bertanggungjawab ini membuat pelepasan haram di kawasan ini.

Selain itu, katanya terdapat juga kegiatan mengitar semula minyak hitam terpakai dan semua kegiatan ini dijalankan secara haram.

"Dipercayai terdapat di antara 200 hingga 300 tan metrik minyak hitam terpakai itu di kawasan tersebut. Ini adalah satu kesalahan pencemaran alam sekitar. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Kita juga mendapati kawasan ini tiada lesen beroperasi dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan JAS.

Ekoran itu, JAS telah menyita kawasan tersebut untuk siasatan dan tindakan mahkamah. JAS akan memanggil saksi-saksi yang berkaitan untuk diambil kenyataan mereka dan seterusnya membawa kes ini ke mahkamah,” katanya.

Veerapan berkata setakat ini JAS telah mengenal pasti tuan punya tanah, pemilik bengkel kereta dan penyewa kilang haram tersebut, selain mengambil sampel minyak hitam itu untuk dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

-- BERNAMA

      


 

   

 
 
     
   
 

Penggiat industri pelancongan Johor telah diberi taklimat berhubung koronavirus - Exco

 
     

Pengusaha cendawan turut terjejas akibat cuaca panas

 
     

Tapak relau peleburan besi purba ditemukan di Kedah

 
     

Usah biarkan warisan di Kota Bukit Supai terus sepi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel