tEgc7F0x81Q Ibu berpantang harungi banjir bersama bayi berusia 15 hari
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Ibu berpantang harungi banjir bersama bayi berusia 15 hari


Tarikh kemaskini: 12/12/2019





KUCHING, 12 Dis -- Hanya nasib bayinya yang baharu berusia 15 hari sahaja yang difikirkan seorang wanita sewaktu diminta untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Masyarakat Stapok selepas rumah mereka dinaiki air pada 10 malam tadi.

Carolind Kongkit, 32, yang baharu kali pertama menjadi ibu dan tidak pernah berdepan situasi seumpama itu berkata walaupun masih lemah, beliau terpaksa mengagahkan diri dan hanya memikirkan keselamatan bayinya, Finna Yohanna.  

Menceritakan pengalamannya, wanita itu berkata beliau terpaksa mendukung bayinya yang masih kecil itu dalam keadaan hujan dan menaiki bot agensi keselamatan untuk ke PPS.

“Pada mulanya saya agak panik dan berdebar, tambahan pula dalam keadaan berpantang selepas bersalin, namun saya gagahkan juga demi memikirkan keselamatan Finna Yohanna,” katanya semasa ditemui Bernama di PPS terbabit, hari ini.

Carolind turut memuji agensi keselamatan termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) atas bantuan yang cepat, cekap dan efisien dalam menguruskan bencana banjir itu.

“Bantuan cepat tiba dan semasa berada di PPS ini, bantuan seperti lampin pakai buang, susu untuk bayi serta makanan dan kemudahan asas yang lain semuanya mencukupi,” katanya.

Sementara itu, pegawai JKM Kuching, Fazila Sulaili berkata sejak pusat itu dibuka semalam, pihaknya bertungkus-lumus menyalurkan segala bantuan yang diperlukan kepada mangsa yang terlibat.

“Kita menyediakan tempat tidur, memberikan sokongan moral serta makanan asas yang disediakan secara bergotong-royong bersama mangsa dan agensi yang terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, menurut jurucakap Jabatan Pengurusan Bencana Negeri, Ismail Mahedin berkata setakat pukul 12 tengah hari ini, terdapat 46 mangsa daripada sembilan keluarga masih berada di PPS berkenaan dan tidak dibenarkan pulang kerana air di kawasan kediaman mereka belum surut.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Penggiat industri pelancongan Johor telah diberi taklimat berhubung koronavirus - Exco

 
     

Pengusaha cendawan turut terjejas akibat cuaca panas

 
     

Tapak relau peleburan besi purba ditemukan di Kedah

 
     

Usah biarkan warisan di Kota Bukit Supai terus sepi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel