Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50


Tarikh kemaskini: 12/12/2019





SHAH ALAM, 12 Dis  -- Yuran Kelab Rekreasi Denai Alam (DARC) yang kini dikenali sebagai Kelab Berkuda dan Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam diturunkan kepada hanya RM50 setahun untuk satu keluarga berbanding RM290 sebelum ini.

Pengasas kelab berkenaan, Datuk Terry Teo berkata kadar yuran baharu berkenaan akan mula dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun hadapan.

“Dengan kadar baharu ini, penduduk Shah Alam hanya perlu membayar yuran RM50 setahun bagi setiap keluarga. Bagi penduduk di sekitar Selangor, mereka perlu membayar RM100 dan RM150 bagi keluarga dari luar Selangor.

“Bayaran sebanyak RM290 pula hanya akan dikenakan kepada keluarga dari negara luar,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian nama baharu kelab berkenaan di sini, hari ini yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Shah Alam merangkap Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Tambah Teo, tujuan kelab berkenaan mengurangkan kadar yuran tahunannya adalah bagi menarik lebih ramai rakyat tanpa mengira latar belakang belajar menunggang kuda.

“Semua tahu, aktiviti menunggang kuda ini biasanya melibatkan kos yang mahal, disebabkan itu kami turunkan harga yuran sebab mahu bantu orang ramai belajar menunggang kuda.

“Sejak penubuhan kelab ini sekitar 11 tahun lepas, kira-kira 10,000 orang telah belajar menunggang dan mengendalikan kuda. Kami harap dengan yuran baharu ini angka ini dapat meningkat dua kali ganda," katanya yang memberitahu terdapat kira-kira 80 ekor kuda di kelab berkenaan yang sedia digunakan oleh ahli kelab.

Sementara itu, Khalid dalam ucapan perasmiannya berharap penduduk Shah Alam dapat mengambil kesempatan berkenaan untuk belajar menunggang kuda di samping meluangkan masa bersama keluarga untuk berekreasi di kelab itu.

Selain aktiviti berkuda, terdapat pelbagai aktiviti disediakan oleh kelab berkenaan antaranya memanah, zoo haiwan jinak (petting zoo) dan memberi makan kepada ikan.

-- BERNAMA

 

 

   

 
 
     
   
 

Penggiat industri pelancongan Johor telah diberi taklimat berhubung koronavirus - Exco

 
     

Pengusaha cendawan turut terjejas akibat cuaca panas

 
     

Tapak relau peleburan besi purba ditemukan di Kedah

 
     

Usah biarkan warisan di Kota Bukit Supai terus sepi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel