Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sambutan filem 'Garang - Aku Luar Biasa' mengenai atlet paralimpik kurang memberangsangkan


Tarikh kemaskini: 13/12/2019





Laporan Eksklusif Oleh: Kamarul Halim M Kamal

BATU PAHAT, 13 Dis -- Filem bertajuk ‘Garang - Aku Luar Biasa’ yang diterbitkan dengan niat murni khusus bagi membantu Orang Kelainan Upaya (OKU) di samping membina kesedaran orang ramai mengenai insan istimewa ini, mula ditayangkan kepada orang ramai pada 5 Dis lepas, namun sambutannya setakat ini dilihat kurang memberangsangkan.

Penerbit Sakti Films Sdn Bhd Dakshina Muriti berkata setelah seminggu filem yang berkisar mengenai kisah kehidupan seorang atlet paralimpik negara itu ditayangkan, kutipan jualan tiket tidak pun mencecah RM50,000.

Menurutnya tujuan asal pembikinan filem itu adalah bagi membantu pembinaan sebuah asrama berteraskan kebajikan bagi kegunaan pelatih OKU di Bengkel Sampul Surat Batu Pahat yang berada di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Jika mengikut jadual yang dikeluarkan oleh pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) tarikh akhir tayangan filem kami adalah ?pada 15 Disember? ini (Ahad), namun kami merayu kepada Finas untuk melanjutkannya.

“Sasaran kami masih belum sampai, dengan kos pembinaan asrama berkenaan sebenarnya adalah sekitar RM1.8 juta,” katanya ketika ditemui Bernama ketika tayangan amal filem terbabit dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Batu Pahat, malam tadi.

Jelas Muriti yang juga Pengurus Bengkel Sampul Surat Batu Pahat itu, setelah hampir 40 tahun beroperasi, bengkel berkenaan kini semakin sempit dengan keupayaan menampung seramai kira-kira 70 orang pelatih.

Katanya kebanyakan pelatih berkenaan tidak dapat tinggal di asrama yang disediakan terutamanya pelatih wanita yang terpaksa tinggal atau menyewa rumah di luar bengkel terbabit.

“Kami merancang untuk membina sebuah asrama dan sebab itulah filem Garang ini diterbitkan, di mana orang ramai dapat berhibur serta dalam masa yang sama dapat melakukan aktiviti kebajikan.

“Ramai yang tidak tahu yang bengkel ini menghasilkan sampul surat untuk kegunaan rasmi beberapa agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia, Lembaga Peperiksaan Malaysia dan ada juga yang dieksport ke luar negara seperti ke negara Korea Selatan dan sebagainya,” kata beliau yang terpaksa menolak banyak permohonan untuk menjadi pelatih disebabkan kekurangan infrastruktur di situ.

Muriti menambah dengan adanya filem ini pihaknya turut berharap ia mampu memberikan kesedaran kepada masyarakat berkenaan kehidupan golongan OKU ini yang sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai cita-cita mereka.

Katanya ia juga sebagai satu pengajaran yang golongan OKU terbabit tidak boleh dibuli kerana kekurangan mereka dan mereka ini juga memerlukan perhatian daripada golongan yang normal. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Penggiat industri pelancongan Johor telah diberi taklimat berhubung koronavirus - Exco

 
     

Pengusaha cendawan turut terjejas akibat cuaca panas

 
     

Tapak relau peleburan besi purba ditemukan di Kedah

 
     

Usah biarkan warisan di Kota Bukit Supai terus sepi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel