Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

K'jaan Selangor sedang proses kelulusan tapak tanah Highland Towers untuk dibangunkan semula


Tarikh kemaskini: 14/12/2019





KLANG, 14 Dis -- Kerajaan Selangor sedang memproses kelulusan tapak tanah Highland Towers di Hulu Klang untuk dibangunkan semula dan ia memerlukan masa kerana perlu melalui beberapa prosedur.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata pihaknya ada menerima surat daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenai isu pembangunan semula Highland Towers bulan lepas dan ia sedang diuruskan oleh jabatan terlibat.

"Kita memang mahu bekerjasama dengan KPKT untuk membangunkan semula kawasan itu (Highland Towers) cuma prosesnya (kelulusan tanah untuk diambil alih bagi pembangunan semula) mengambil sedikit masa untuk diselesaikan.

"Prosesnya yang melibatkan maklum balas, penggazetan dan sebagainya iaitu proses biasa dalam kerja tanah biasanya mengambil masa 90 hari atau tiga bulan. Jika ada isu lain, ia mungkin ambil masa empat bulan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Perayaan Krismas peringkat negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab gesaan Menteri KPKT Zuraida Kamaruddin hari ini  seperti dilaporkan media supaya kerajaan Selangor mempercepatkan kelulusan pengambilalihan tapak tanah Highland Towers untuk dibangunkan semula selepas lebih 20 tahun terbiar.

Ditanya sama ada proses kelulusan tapak tanah untuk pembangunan semula itu boleh diselesaikan hujung bulan ini seperti yang digesa Zuraida, Amirudin berkata ia perlu dibawa ke mesyuarat exco terlebih dahulu.

"Surat (daripada KPKT) saya baru dapat dan memerlukan masa (untuk proses) sebab kerajaan negeri perlu mengikut prosedur dalam isu berkaitan tanah. 

"Saya juga sudah bermesyuarat dengan menteri (Zuraida) untuk melakukan beberapa pelarasan mengenainya. Kalau buat Januari pun tiada masalah. Saya akan cuba percepatkan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Penggiat industri pelancongan Johor telah diberi taklimat berhubung koronavirus - Exco

 
     

Pengusaha cendawan turut terjejas akibat cuaca panas

 
     

Tapak relau peleburan besi purba ditemukan di Kedah

 
     

Usah biarkan warisan di Kota Bukit Supai terus sepi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel