Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini


Tarikh kemaskini: 15/12/2019





KUANTAN, 15 Dis  -- Semakan keputusan kemasukan ke tingkatan satu di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi sesi persekolahan 2020 boleh dibuat mulai hari ini, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Seri Rina Mohd Harun. 

Beliau berkata bagi tahun ini, keputusan itu diumumkan lebih awal berbanding kelaziman sebelumnya yang mana ia diumumkan selepas sesi persekolahan baharu sudah bermula dan pelajar yang terpilih perlu mendaftar masuk ke sekolah lain terlebih dahulu. 

"Bagi kali ini, kita menetapkan semakan keputusan dibuat lebih awal, iaitu kira-kira dua minggu sahaja selepas tarikh permohonan kemasukan pengambilan pelajar 2020 ditutup, iaitu pada 30 Nov lalu. 

"Pembaharuan ini membolehkan ibu bapa membuat pesediaan sewajarnya sebelum pendaftaran MRSM pada 6 Jan depan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Back To School 2020 @ KPLB Yayasan Pelajaran MARA di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) di sini, hari ini. 

Rina memaklumkan iklan kemasukan pengambilan baharu pelajar tingkatan satu bagi tahun 2020 menerima permohonan daripada 80,319 orang sedangkan kuota pengambilan yang ditetapkan ialah 7,628 orang.

Ia melibatkan 3,595 pelajar bagi MRSM Premier, MRSM Ulul Albab (870 pelajar), MRSM Program International General Certificate of Secondary Education (2,485 pelajar), MRSM Teknikal (180 pelajar) dan MRSM Program International Baccalaureate Middle Years Programme (489 pelajar). 

Rina berkata mereka yang tidak berjaya pada semakan itu masih berpeluang mengemukakan rayuan untuk mengisi kekosongan pelajar yang menolak tawaran kemasukan tersebut, yang akan diketahui selepas selesai proses pendaftaran. 

Bagi sesi pengambilan pelajar MRSM 2020, Rina berkata 60 peratus daripada kuota itu diisi oleh pelajar daripada keluarga B40, sebagai inisiatif membantu mereka belajar di persekitaran kondusif dengan harapan akan dapat mengubah nasib keluarga pada masa depan. 

"Mereka yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan tidak perlu bimbang mengenai persiapan ke MRSM kerana MARA menyediakan skim bantuan iaitu Bantuan bagi Pendidikan (BUDI) yang mendapat sokongan daripada banyak syarikat korporat. 

"Penerima BUDI akan memperoleh wang saku RM50 sebulan, pengecualian bayaran wang caruman RM60 sebulan dan one-off RM1,500 setahun bagi pembelian keperluan asas persekolahan," katanya. 

Rina berkata di Pahang, seramai 203 pelajar tingkatan dua hingga lima menerima bantuan BUDI di empat buah MRSM iaitu MSM Tun Abdul Razak, MRSM Muadzam Shah, MRSM Kuantan dan MRSM Tun Ghazali Shafie.

Bagi kemasukan ke tingkatan 4 tahun di MRSM tahun depan, Rina berkata jumlah permohonan yang diterima adalah 26,160 orang dengan kuota pengambilan sebanyak 1,812 orang melibatkan MRSM Premier (710 orang) dan MRSM Program Khas Pendidikan (1,102 orang). 

Pada program itu, Rina juga menyampaikan bantuan awal persekolahan kepada 180 pelajar daripada 19 sekolah rendah dan menengah di Parlimen Paya Besar, yang merupakan sebahagian daripada 2,520 penerima di Pahang melibatkan jumlah melebihi RM200,000. 

Selain itu, Rina juga menyampaikan kaki palsu kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar, Nurul Hasrina Adnan, 17, yang kehilangan kaki kanan akibat kemalangan pada 20 Sept lalu, yang dihasilkan oleh pelajar KKTM Kuantan dengan ciri istimewa 50 peratus lebih ringan daripada kaki palsu di pasaran.

-- BERNAMA 

 


 

   

 
 
     
   
 

Penggiat industri pelancongan Johor telah diberi taklimat berhubung koronavirus - Exco

 
     

Pengusaha cendawan turut terjejas akibat cuaca panas

 
     

Tapak relau peleburan besi purba ditemukan di Kedah

 
     

Usah biarkan warisan di Kota Bukit Supai terus sepi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel