Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jawatankuasa MA63 tidak bincang beli kepentingan dalam Petronas


Tarikh kemaskini: 16/12/2019





KUCHING, 16 Dis -- Pejabat Ketua Menteri (CMO) Sarawak hari ini menafikan bahawa topik berkaitan pembelian kepentingan dalam Petronas telah dibincangkan oleh Jawatankuasa Pemandu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sebaliknya, jelas CMO, hanya perkara membabitkan minyak dan gas disentuh dalam perbincangan berasingan antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Penjelasan itu sebagai menjawab kenyataan oleh Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak Chong Chieng Jen yang juga Timbalan Menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna bahawa Abang Johari, menerusi satu mesyuarat jawatankuasa tersebut telah bersetuju secara dasarnya untuk membeli kepentingan dalam Petronas.

“Oleh itu, Timbalan Menteri itu tidak mempunyai sebarang 'privy' (bahagian) terhadap maklumat terperinci berhubung isu-isu terbitan saham minyak dan gas serta tiada kuasa untuk mendedahkan mana-mana maklumat mengenai perbincangan sedemikian, jika ada.

“Malah, perlu diambil kira juga bahawa pembelian kepentingan dalam anak syarikat Petronas tidak boleh disamakan dengan pembelian serupa dalam Petronas sebagai syarikat induk," kata CMO.

Menurutnya, Sarawak memiliki kepentingan dalam anak-anak syarikat gas asli cecair dan merupakan rakan ekuiti dalam Shell MDS Sdn Bhd.

“Setakat hari ini, tiada sebarang tawaran membabitkan Petronas itu," katanya.

Chong mendakwa Ketua Menteri sebelum ini, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem juga berpendapat bahawa kerajaan negeri itu wajar membeli kepentingan dalam Petronas.

“Malangnya, pada masa itu, Kerajaan Persekutuan yang diterajui Barisan Nasional, enggan menjual bahagian kepentingannya dalam Petronas kepada kerajaan negeri Sarawak kerana mahu memiliki semua dividen dan pulangan Petronas yang menguntungkan untuk pemegang sahamnya," kata beliau.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Penggiat industri pelancongan Johor telah diberi taklimat berhubung koronavirus - Exco

 
     

Pengusaha cendawan turut terjejas akibat cuaca panas

 
     

Tapak relau peleburan besi purba ditemukan di Kedah

 
     

Usah biarkan warisan di Kota Bukit Supai terus sepi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel