Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Siswazah perakaunan jadi pengusaha keropok


Tarikh kemaskini: 15/01/2020





PASIR PUTEH, 15 Jan -- Seorang siswazah jurusan perakaunan Universiti Putra Malaysia memilih untuk menjadi pengusaha keropok daripada makan gaji bagi  meneruskan perusahaan keluarga yang telah sekian lama menghasilkan keropok ikan.

Safidazura Nasir , 35, berkata beliau menceburi bidang pembuatan keropok sejak tiga bulan lepas setelah lebih lima tahun bekerja dengan bapanya untuk mempelajari selok belok membuat dan memasarkan keropok ikan.

Ibu kepada dua orang anak kecil itu berkata walaupun terdapat banyak persaingan daripada pengusaha keropok di sekitar  Kampung Telaga Papan Semerak di sini, namun ini  tidak sedikitpun meluntur semangatnya untuk menghasilkan keropok yang menepati citarasa pengguna.

“Saya lebih mengutamakan kualiti produk kerana tahu pelanggan akan membuat pembelian ulangan jika keropok yang dihasilkan bermutu dan sedap walaupun harganya lebih mahal daripada keropok jenama lain. 

“Keropok keluaran kami berbintik hitam sebab isi ikan yang digunakan tidak betul-betul hancur dan ini membuatkan rasa keropok lebih sedap dan berbeza daripada yang lain,” katanya ketika ditemui di kilangnya yang menggunakan jenama “Keropok Sedap Sengoti Tiga Kupu-kupu” di Kampung Telaga Papan hari ini.

Walaupun baru beroperasi pada bulan November tahun lepas Safiazura berkata sambutan yang diterima dari seluruh Kelantan sangat baik dan peniaga dari Kota Bharu, Pasir Mas, Machang dan Gua Musang selalu datang ke kilangnya untuk membuat tempahan secara borong pada harga RM19 sekilo.

 Safiazura berkata beliau  bercadang untuk memasarkan keropoknya  di luar Kelantan terutama di Kuala Lumpur, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak tidak lama lagi.

Mengenai perancangan masa depannya, Safiazura berkata beliau berhasrat memiliki bangunan kilang sendiri untuk menghasilkan keropok yang mencukupi bagi memenuhi  permintaan pasaran.

“Dalam  waktu terdekat ini, saya memerlukan mesin  tambahan terutama mesin penghacur ikan, dan mesin pengadun, mesin penguli, dapur pengukus yang lebih besar dan mesin pemotong keropok.

“Ini kerana mesin dan periuk pengukus yang sedia ada tidak mampu menampung permintaan keropok yang semakin meningkat,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Penggiat industri pelancongan Johor telah diberi taklimat berhubung koronavirus - Exco

 
     

Pengusaha cendawan turut terjejas akibat cuaca panas

 
     

Tapak relau peleburan besi purba ditemukan di Kedah

 
     

Usah biarkan warisan di Kota Bukit Supai terus sepi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel