Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PKBM rayu KKR tunaikan janji kuota 30 peratus kontraktor bumiputra projek Pan Borneo


Tarikh kemaskini: 15/01/2020





KUCHING, 15 Jan -- Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia Sarawak (PKBM) merayu agar Kementerian Kerja Raya mengotakan janji untuk menganugerahkan kuota 30 peratus projek Lebuh Raya Pan Borneo kepada syarikat bumiputera terutamanya dari Sarawak.

Yang Dipertua PKBM Datuk Seri Abang Aditajaya Abang Alwi berkata pihaknya ada memohon kuota bumiputera kepada Menteri Kerja Raya, Baru Bian melibatkan beberapa projek mega antaranya projek Lebuh Raya Pan Borneo fasa 1 dan Sarawak-Sabah Link Road.

“Kita memohon supaya diberi peluang ataupun agihkan peluang itu kepada syarikat bumiputera di Sarawak.

“Perkara itu kita telah majukan dan kita akan membuat kunjungan hormat kepada menteri berkenaan dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Persekutuan Sarawak, Mohd Shahabuddin Omar, di sini hari ini.

Abang Aditajaya sebelum ini memohon kepada kementerian berkaitan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menyiasat jumlah kontraktor yang terlibat dalam projek lebuh raya bahagian Sarawak berikutan bilangan mereka tidak melebihi kuota 30 peratus seperti didakwa pihak Lebuh Raya Borneo Utara Bhd (LBU).

Beliau berkata laporan dari LBU kepada kerajaan menyatakan kuota 30 peratus telah dicapai, namun amat meragukan setelah pihaknya menerima 28 aduan melibatkan 28 konsortium merangkumi lebih 100 syarikat G7 Bumiputera dari seluruh Sarawak.

Dilaporkan, kerajaan Persekutuan secara rasmi telah mengeluarkan surat penamatan kepada LBU, rakan pelaksana projek (PDP) projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak, pada September lepas.

Berikutan itu, Abang Aditajaya berkata setelah mengambil maklum PDP bagi projek Lebuh Raya Pan Borneo fasa 1 telah dibatalkan dan bakal diambil alih oleh JKR bermula April ini, beliau berharap KKR akan melihat semula dan menganugerahkan kuota 30 peratus itu seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Dilancarkan pada Mac 2015, projek bernilai berbilion ringgit itu dianggap sebagai projek pembangunan  infrastruktur terbesar dirancang oleh kerajaan Persekutuan di Sarawak dalam tempoh 54 tahun. 

Lebuh raya bebas tol sepanjang 1,060 km itu akan menjadi nadi utama untuk menghubungkan Sabah dan Sarawak.

-- BERNAMA

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Penggiat industri pelancongan Johor telah diberi taklimat berhubung koronavirus - Exco

 
     

Pengusaha cendawan turut terjejas akibat cuaca panas

 
     

Tapak relau peleburan besi purba ditemukan di Kedah

 
     

Usah biarkan warisan di Kota Bukit Supai terus sepi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel