Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kes denggi di Pulau Pinang menurun 85.38 peratus


Tarikh kemaskini: 15/01/2020





GEORGE TOWN, 15 Jan -- Kes demam denggi di Pulau Pinang mencatatkan penurunan sebanyak 432 kes atau 85.38 peratus kepada 74 kes bagi tempoh 1 Jan hingga 11 Jan lepas, berbanding 506 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dalam kenyataan hari ini menyatakan dalam tempoh itu, hanya satu kematian akibat denggi direkodkan berbanding dua kematian untuk tempoh sama tahun lepas.

"Bagi minggu kedua tahun ini iaitu 5 Jan hingga 11 Jan, sebanyak 31 kes denggi telah dilaporkan berbanding 43 kes pada minggu pertama (29 Dis hingga 4 Jan) iaitu penurunan 12 kes atau 27.91 peratus," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyatakan terdapat tujuh lokaliti wabak terkawal dilaporkan iaitu Kampung Mutiara, Midland Condominium, Greenlane Height Blok G, Flat Kampung Melayu, Quayside Condo dan Taman Kristal Apartment di daerah Timur Laut serta Taman Seri Puteri di daerah Barat Daya.

Selain itu, terdapat tiga lokaliti panas iaitu Vista Condo dan Jalan Chee Seng 1-10 di daerah Timur Laut serta Perkampungan Valdor B di daerah Seberang Perai Selatan.

Menurut kenyataan itu, orang ramai dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital apabila mengalami demam dan tanda-tanda penyakit denggi seperti sakit badan atau sendi, mengalami muntah, ruam pada kulit dan kurang selera makan.

"JKNPP mengingatkan masyarakat untuk terus mengambil langkah-langkah segera bagi menghentikan penularan penyakit denggi dengan melakukan pemeriksaan dalam rumah dan kawasan sekitar masing-masing bagi mengenal pasti dan menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes setiap minggu," menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Penggiat industri pelancongan Johor telah diberi taklimat berhubung koronavirus - Exco

 
     

Pengusaha cendawan turut terjejas akibat cuaca panas

 
     

Tapak relau peleburan besi purba ditemukan di Kedah

 
     

Usah biarkan warisan di Kota Bukit Supai terus sepi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel