> BERITA

KPPA DAHULUI 94 PENERIMA DARJAH, BINTANG KEBESARAN SELANGOR

11/12/2024 12:49 PM

KLANG, 11 Dis (Bernama) -- Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz mendahului senarai 94 penerima Darjah dan Bintang Kebesaran Sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-79 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini.

Beliau dikurniakan Darjah Kelas Pertama Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran Datuk Seri manakala Pengerusi Eksekutif The Edge Communications Sdn Bhd Tan Sri Tong Kooi Ong turut dianugerahkan darjah yang sama.

Sultan Sharafuddin turut berkenan menganugerahkan Darjah Kelas Pertama Dato’ Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S.) kepada Anggota Lembaga Pengampunan Selangor Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman yang membawa gelaran 'Datuk Setia'.

Sementara itu Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia Sharrina Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke Maghribi Shahabudeen Adam Shah merupakan antara 11 penerima Darjah Kelas Kedua Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) yang membawa gelaran 'Datuk’ bagi lelaki dan 'Datin Paduka' bagi wanita.

Turut menerima anugerah sama Hakim Mahkamah Keluarga Kuala Lumpur Evrol Mariette Peters, Panglima Markas Briged Ke-11 Infantri Kem Sungai Buloh Brig. Jen. Shahir Hafizul Abd Rahman, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Rahilah Rahmat serta Ahli Lembaga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Selangor Cheremi Tarman.

Penerima lain adalah Pengarah Urusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Azalina Adham, Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Kumpulan Perdana Parkcity Sdn Bhd Datuk Joseph Lau, KPE AEON Bank (M) Berhad Raja Maimunah Raja Abdul Aziz dan Pengarah Ranhill Utilities Berhad Faiz Ishak.

Istiadat berkenaan turut menyaksikan 15 individu menerima Darjah Kelas Kedua Dato’- Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) yang membawa gelaran 'Datuk' bagi lelaki dan 'Datin Paduka' bagi wanita.

Mereka ialah Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Muhammad Farhan Wijaya, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, Setiausaha Dewan Diraja Selangor Hanafisah Jais, Ahli Jawatankuasa Fatwa dan Khutbah Selangor Dr Muhammad Ayman al-Akiti, Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Zakat Selangor Badariah Abd Jalil, KPE Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) Saipolyazan Mat Yusop dan Pengarah Milestone Power Sdn Bhd Norhamidi Abdul Rahman.

Penerima lain bagi anugerah tersebut ialah KPE Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Sin Chew Daily Kuik Cheng Kang, KPE TH Travel & Services Sdn Bhd Tengku Badlishah Shukri Tengku Ibrahim, Pengarah Urusan Rafulin Holdings Sdn Bhd Datuk Mohamed Raffe K Chekku, KPE Kumpulan & Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad Datuk Lee Chun Fai, Ahli Lembaga Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan Michael Leow Kean Teck, Pengarah Eksekutif Sunway Group Sarena Cheah Yean Tih dan Pengarah Urusan Kumpulan IOI Corporation Berhad Datuk Lee Yeow Chor.

Sementara itu penerima Anugerah Olahragawati Negara 2023 Natasha Mohamed Roslan dikurniakan Darjah Kebesaran Ahli Kegemilangan Sukan Selangor (A.K.S.).

Selain itu 11 individu dikurniakan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor (S.M.S.) antaranya Pengarah Pengurusan Strategik Markas Tentera Laut Kepten Khairisharizal Salehin serta Pengarah Operasi Domestik Kem Al-Sultan Abdullah Markas Angkatan Bersama Kolonel Chen Boon Jong.

Sebelas individu pula menerima Darjah Kebesaran Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S.) termasuk Pengarah Hospital Shah Alam Dr Ruzita Othman dan Pengarah Bahagian Penyiasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Azlimin Mat Noor.

Pada istiadat berkenaan 16 individu turut menerima Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S.), 17 menerima Darjah Kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S.) termasuk pemain sayap Selangor FC Mohamad Faisal Abdul Halim.

Selain itu, dua individu dikurniakan Bintang Kecemerlangan Sukan Selangor (B.K.S.) dan tujuh lagi menerima Bintang Perkhidmatan Cemerlang (B.P.C.).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan