KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Tanggal 20 Julai 2024 tercatat sebagai peristiwa penting yang berlaku dalam negara sepanjang tahun ini dengan sempurnanya Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Berlangsung di Istana Negara dengan penuh adat dan tradisi, istiadat pertabalan yang diadakan setiap lima tahun itu menonjolkan keunikan Malaysia sebagai antara 43 negara yang mengamalkan Sistem Raja Berperlembagaan dan satu-satunya di dunia yang melaksanakannya secara penggiliran dalam kalangan sembilan Raja-Raja Melayu.
Istiadat pertabalan itu berlangsung enam bulan selepas Sultan Ibrahim, 65, melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas setelah Seri Paduka Baginda dipilih semasa Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) pada Oktober 2023 untuk tempoh lima tahun.
Mesyuarat sama juga memilih Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama serta turut mengangkat sumpah jawatan itu untuk kali ketiga pada 31 Jan.
Sultan Ibrahim bersemayam selama lima tahun menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Jan selepas memegang tampuk pemerintahan negara dari 31 Jan 2019.
Istiadat pertabalan itu pastinya mengimbau nostalgia peribadi Sultan Ibrahim kerana ia melalui proses bersejarah yang sama seperti Paduka Ayahanda Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail yang ditabal selaku Yang di-Pertuan Agong kelapan, 40 tahun lepas sekali gus melakar detik istimewa buat Seri Paduka Baginda.
Lebih istimewa, istiadat pertabalan itu yang turut dihadiri Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Bahrain Hamad Bin Isa Al Khalifa selain 700 tetamu itu, membawa makna tersendiri kepada Sultan Ibrahim apabila bersemayam di atas singgahsana sama digunakan Almarhum Paduka Ayahanda.
Alunan muzik daripada Nobat Diraja Perak yang mengiringi istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong pastinya menggamit kenangan Sultan Ibrahim kerana nobat yang sama pernah dimainkan semasa istiadat perkahwinan Seri Paduka Baginda dengan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak pada 22 Sept 1982.
Malah, nobat sama juga digunakan semasa istiadat pertabalan Almarhum Sultan Iskandar pada 1984.
Menariknya, permohonan untuk membawa Nobat Diraja Perak ke Istana Negara berlangsung penuh santun dengan Yang di-Pertuan Agong menulis sendiri warkah untuk dipersembahkan kepada Sultan Nazrin melalui Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil selaku Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong.
Jika mengikut adat dan tradisi, Nobat Diraja Perak tidak dibenarkan merentas sempadan negeri itu tanpa perkenaan Sultan yang memerintah.
Di sebalik perkembangan teknologi dan komunikasi, tradisi mempersembahkan Warkah Persilaan kepada Raja-Raja Melayu dan Yang Dipertuan Negeri menggunakan tulisan khat jawi dikekalkan dan istimewanya kali ini, Sultan Ibrahim menitahkan agar motif bunga raya diletakkan pada kapsul emas dan perak yang digunakan untuk menyimpan warkah berkenaan.
Selain itu, istiadat pertabalan berkenaan juga mempunyai sentuhan peribadi Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah termasuklah menggabungkan penggunaan warna kegemaran Seri Paduka Baginda berdua iaitu biru Tiffany dengan warna kuning diraja antaranya pada kad jemputan, cenderamata pertabalan, pingat pertabalan serta poster hebahan.
Pada istiadat pertabalan yang menjunjung tradisi kesultanan Melayu itu, Sultan Ibrahim mengenakan Muskat, iaitu persalinan rasmi Yang di-Pertuan Agong dengan sulaman emas bermotifkan awan larat dan bunga raya sebagai bunga kebangsaan negara lengkap bertengkolok, pending serta keris pendek diraja.
Sementara itu, Raja Zarith Sofiah pula anggun dalam persalinan Kurung Johor berwarna keemasan dengan sulaman manik kristal bermotifkan bunga raya serta awan larat yang diilhamkan daripada Muskat Sultan Ibrahim selain mengenakan Gendik (tiara) Diraja dan Kalung Diraja.
Bagi menandakan permulaan majlis istiadat pertabalan, Yang di-Pertuan Agong mengucup senaskhah al-Quran sebagai lambang Seri Paduka Baginda selaku Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri tidak beraja serta Wilayah Persekutuan.
Sultan Ibrahim kemudian dipersembahkan dengan keris kerajaan, iaitu Keris Panjang Diraja yang melambangkan pemusatan kuasa Yang di-Pertuan Agong memerintah negara, bukan lagi negeri.
Lafaz ikrar oleh Sultan Ibrahim yang akan menjalankan seadil-adilnya pemerintahan bagi Malaysia mengikut undang-undang dan Perlembagaan negara serta memelihara dengan sempurnanya setiap masa agama Islam dan berdiri teguh atas pemerintahan yang adil dan aman dalam negara, melengkapkan istiadat pertabalan yang berlangsung di Balairung Seri, dengan suasana penuh gilang-gemilang.
Hampir setahun memegang tampuk pemerintahan, Seri Paduka Baginda telah mengadakan tiga Lawatan Negara bermula ke Singapura pada Mei, diikuti China serta Brunei Darussalam masing-masing pada September dan Oktober, yang turut disertai Raja Zarith Sofiah seterusnya memperkukuh lagi hubungan antara Malaysia dengan negara berkenaan.
Jika mengikut turutan penggiliran Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ialah yang kedua terakhir, sebelum disusuli dengan pelantikan Sultan Nazrin sekiranya baginda dipilih oleh Majlis Raja-Raja dan selepas itu pusingan ketiga penggiliran akan bermula.
Sultan Ibrahim, yang diputerakan pada 22 Nov 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu, Johor, umpama payung negara tempat rakyat tumpang berteduh, tidak kira kaum, agama, mahupun fahaman politik, justeru rakyat harus menghormati dan mengekalkan kesetiaan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara kerana Seri Paduka Baginda ialah simbol keharmonian dan perpaduan.
Semangat kesetiaan itu sewajarnya telah subur dalam diri setiap rakyat kerana ia diajar seawal di bangku sekolah melalui Rukun Negara menerusi prinsip kedua, iaitu “Kesetiaan Kepada Raja dan Negara” selain lirik dalam Lagu Negaraku berbunyi Rahmat Bahagia Tuhan Kurniakan, Raja Kita Selamat Bertakhta, yang diulang dua kali.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial