AM > BERITA

Malaysia-Rusia Bincang Hubungan Dua Hala Termasuk Pertahanan, Keselamatan Siber

27/02/2025 03:45 PM

PUTRAJAYA, 27 Feb (Bernama) -- Beberapa isu termasuk pertahanan, keselamatan dan ekonomi antara topik yang dibincangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Majlis Keselamatan Persekutuan Rusia Sergei Shoigu di sini hari ini.

Menerusi hantaran Facebook beliau, Anwar berkata perkara penting lain yang turut dibincangkan dalam meningkatkan hubungan dua hala termasuk perbankan, sains dan teknologi, keselamatan siber, jaringan perhubungan serta bidang latihan.

"Hari ini saya menerima kunjungan hormat Setiausaha Majlis Keselamatan Persekutuan Rusia Sergei Shoigu yang dalam lawatan kerja ke Malaysia," kata Anwar.

Perdana Menteri berkata beliau turut berkongsi hasil pertemuan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin sewaktu menghadiri Forum Ekonomi Timur pada September 2024, satu platform penting untuk mempelbagaikan usaha diplomasi ekonomi negara dan meningkatkan kerjasama dengan negara anggota melalui inisiatif bersama serta perkongsian strategik," kata beliau.

Sebelum pulang, Anwar menzahirkan penghargaan kepada Shoigu atas lawatan itu yang pastinya bakal membawa kepada kerjasama yang bermakna pada tahun-tahun mendatang.

Pada 2023, Rusia merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah, dengan jumlah dagangan dua hala meningkat sebanyak 15.6 peratus tahun ke tahun kepada RM14.22 bilion (US$3.1 bilion), berbanding RM12.3 bilion (US$2.79 bilion) yang direkodkan pada 2022.

Sebelum ketibaan Shoigu di Malaysia, beliau telah melakukan lawatan kerja ke Indonesia pada 25 Feb lepas.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan