Oleh Noorazlina Jindeh
KOTA KINABALU, 19 Julai (Bernama) -- Menjejaki lorong kecil di tengah-tengah kesibukan bandar raya Kota Kinabalu, siapa menyangka sebuah premis kecil di sini menyimpan sebuah gong berusia lebih 100 tahun, yang dipercayai wujud sebelum Perang Dunia Kedua menjadi saksi kepada zaman silam yang penuh bersejarah.
Penulis berpeluang bertemu peniaga barangan antik Stella Tay dan Sue Chong Hartley berusia 50-an, yang juga rakan baik dan pemilik bersama premis itu.
Menurut mereka gong berusia lebih 100 tahun itu unik kerana reka bentuknya berbeza daripada gong yang sering dilihat pada masa ini.
Tay berkata gong berkenaan pada mulanya ialah milik kawan baik ibunya yang telah sekian lama tersimpan, diturunkan daripada generasi ke generasi sebelum pemiliknya mengambil keputusan untuk menjualnya pada harga RM35,000 kepada mereka yang berminat menjadikannya sebagai koleksi.
"Reka bentuk gong ini berbeza kerana istimewanya terdapat tiga ekor kepala naga timbul, kelihatan seperti tiga dimensi (3D) pada permukaan gong. Kalau gong lain, gambar naga nampak rata sahaja," katanya.
Gong itu mempunyai berat hampir 10 kilogram dan dipercayai dihasilkan di kepulauan Borneo sejak abad ke-18 hingga ke-19 dan
Tay berkata ciri-ciri yang terdapat pada gong itu juga memenuhi kriteria dikehendaki oleh pihak muzium, malah pernah mendapat tawaran daripada pihak muzium dan berharap ia akan kekal berada di Sabah sebelum dibeli oleh peminat barangan antik dari luar.
Beliau berkata gong itu mendapat perhatian pihak muzium kerana rekaannya menunjukkan adaptasi pengaruh budaya Cina, iaitu naga yang melambangkan kekuatan, kehormatan, kejayaan dan keberuntungan, selain terdapat imej buaya di bahagian tepi gong yang dianggarkan berdiameter kira-kira 50 sentimeter.
Pengaruh Cina pada gong itu selari dengan kemasukan masyarakat Cina ke Sabah secara besar-besaran pada abad ke-19, apabila Syarikat Borneo Utara British menggalakkan kemasukan mereka untuk bekerja di sektor perladangan khususnya tembakau dan getah, pembalakan, perdagangan dan perlombongan.
Penghijrahan itu sekali gus membawa kepada perkembangan penempatan komuniti Cina di bandar-bandar di Sabah seperti Sandakan, Kota Kinabalu, Tawau dan Kudat.
Sementara itu, Chong berkata walaupun tiada maklumat lanjut mengenai proses pembuatan gong berkenaan, namun menerusi hasil pembacaannya, tulisan Michael Backman - pengumpul dan penjual barangan antik, beliau percaya ia dilakukan secara manual menggunakan 'proses lilin hilang' (lost wax process), iaitu kaedah acuan atau tuangan yang menggunakan lilin sebagai model.
Lilin akan dibentuk mengikut objek yang diingini sebelum ditutup dengan bahan tahan api, kemudian bahan berkenaan menjadi keras sebelum lilin itu dicairkan supaya dapat dikeluarkan daripada acuan dan acuan yang kosong itu kemudian diisi dengan logam cair.
Tay berkata gong berkenaan dipercayai satu-satunya yang berusia lebih 100 tahun yang terdapat di Sabah. Kebanyakan gong yang ada pada masa kini tidak mempunyai reka bentuk objek yang timbul pada permukaan gong melainkan ia rata.
"Kalau ada imej naga pun ia rata sahaja, tidak macam gong ini yang timbul, boleh sentuh, ada tali atau rantai supaya boleh digantung," katanya sambil menambah mereka telah memulakan perniagaan itu pada 2020 di laman seni sebelum berpindah ke premis itu sejak April lepas.
Di Sabah, masyarakatnya sangat sinonim dengan gong yang merupakan alat muzik tradisional penting khususnya bagi Kadazandusun, Bajau dan Murut kerana paluan gong melambangkan perpaduan, penghormatan dan identiti suku kaum.
Mengambil contoh, masyarakat Kadazandusun menggunakan gong dalam upacara memuja semangat dan majlis keramaian.
Masyarakat Murut pula menggunakan "gong sembilan" dalam perayaan, upacara animistik dan sebagai isyarat, manakala masyarakat Bajau menggunakan gong dalam tradisi betitik yang menggabungkan pelbagai alat muzik.
Mengulas lanjut, Chong berkata gong itu dipercayai pada zaman dahulu digunakan untuk memanggil atau memberitahu sesuatu berita kepada khalayak.
Beliau berkata berbeza pada masa kini, gong yang terdiri daripada pelbagai saiz digunakan sebagai alat muzik bersama peralatan lain yang dipalu sehingga menghasilkan irama lagu yang menarik.
Berkongsi mengenai idea memulakan perniagaan itu sejak lima tahun lepas, Tay dan Chong berkata ia kerana minat mengumpul barangan lama untuk dilihat generasi masa kini sekali gus dapat mengimbau nostalgia zaman kanak-kanak mereka dahulu.
Tay berkata kebanyakan golongan belia yang datang ke premis itu yang dinamakan sebagai 'Old Soul Vintage' pasti teruja kerana dapat melihat barangan lama.
Di premis itu turut dijual barangan lain seperti telefon, mesin taip, bagasi, seterika besi, novel, kaset dan kamera yang menggunakan filem.
"Mereka tidak pernah melihat barang-barang antik kerana koleksi di sini ada yang diperoleh daripada pemilik di Semenanjung, Sabah pun ada dan luar negeri," katanya.
Sebahagian hasil jualan barangan itu akan diberikan kepada Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial