MUAR, 19 Julai (Bernama) -- Pempengaruh permotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, yang dilaporkan hilang selepas keretanya terjunam ke Sungai Tui, Jalan Bukit Kepong di sini Isnin lepas, dipercayai sengaja ‘reka’ kehilangannya sebelum bertindak melarikan diri ke negara jiran.
Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata melalui siasatan yang dilakukan pihaknya, adik kepada suspek dipercayai turut bersubahat dengan memberikan keterangan tidak benar untuk kepentingan peribadi.
Beliau menyatakan Tengku Abd Aziz Tengku Zainudin, 30, telah membuat laporan kehilangan abangnya yang turut dikenali sebagai Ija di Balai Polis Lenga, dengan maklumat abangnya itu dalam perjalanan ke Muar untuk membaiki kereta.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilancarkan setelah kes mulanya diklasifikasikan sebagai orang hilang namun melalui siasatan dilakukan terdapat keraguan terhadap laporan yang dikemukakan dan polis percaya bahawa kehilangan tersebut telah direka.
“Siasatan juga mendedahkan lelaki berkenaan juga telah menenggelamkan kereta milik isterinya di sungai sebelum melarikan diri ke negara jiran...adiknya juga mengesahkan bahawa dia turut bersubahat dan berpura-pura menjalankan usaha pencarian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Raiz Mukhliz, kini keterangan telah diambil dan siasatan lanjut akan diteruskan selepas polis memperoleh kebenaran menyiasat (OTI) daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberikan maklumat palsu dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat melakukan kesalahan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan mangsa yang juga peniaga dan memiliki sebuah kedai aksesori kenderaan itu hilang selepas kereta jenis Perodua Axia yang dipandunya terjunam ke sungai berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial