AM

LAPAN INISIATIF SSM PADA 2023 BANTU PEMULIHAN EKONOMI NEGARA PASCA PANDEMIK COVID-19

31/03/2023 10:52 AM

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada tahun ini telah mengumumkan tiga inisiatif berkenaan pengurangan kompaun dan meneruskan lima inisiatif sedia ada dengan beberapa penambahbaikan, selari dengan usaha kerajaan dalam membantu ke arah pemulihan ekonomi negara pasca pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM Datuk Nor Azimah Abdul Aziz berkata inisiatif pertama melibatkan pengurangan kompaun sebanyak 90 peratus daripada nilai asal ke atas syarikat yang berstatus ‘dissolved’ di bawah Akta Syarikat 1965 (Companies Act 1956) dan Akta Syarikat 2016 (Companies Act 2016). 

“Pelaksanaan inisiatif ini bertujuan membantu meringankan beban kewangan pengarah dan syarikat yang telah tutup,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi inisiatif kedua, SSM memperkenalkan pengurangan kompaun sebanyak 90 peratus daripada nilai asal kompaun bagi semua kesalahan lazim di bawah Akta Syarikat 2016.

“Pengurangan kompaun ini diberikan kepada syarikat selepas pematuhan terhadap kegagalan atau kesalahan diambil tindakan oleh pihak syarikat,” katanya.

Nor Azimah berkata pengurangan kompaun hanya diberikan bagi kesalahan lazim di bawah Seksyen 68(1), Seksyen 248(1), Seksyen 258(1), Seksyen 259(1), Seksyen 340(1), Seksyen 30(1) dan Seksyen 30(2) Akta Syarikat 2016.

“Pelaksanaan inisiatif baharu ini diharap dapat membantu komuniti korporat untuk meneruskan perniagaan di dalam persekitaran perniagaan yang mencabar,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata di bawah inisiatif ketiga, SSM meneruskan pengurangan kompaun sebanyak 90 peratus daripada nilai asal kompaun bagi semua kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965 bertujuan memastikan data yang disimpan berhubung entiti syarikat di dalam pendaftaran SSM adalah terkini.

Inisiatif itu juga bertujuan mendorong syarikat mematuhi amalan tadbir urus terbaik khususnya serah simpan Penyata Kewangan serta maklumat terkini di SSM, di samping meringankan beban kewangan syarikat-syarikat ke arah pemulihan ekonomi negara dalam fasa peralihan ke endemik.

Bagi inisiatif keempat, yang juga antara lima inisiatif sedia ada dan diteruskan pada tahun ini, SSM melanjutkan tempoh pendaftaran SSM BizTrust secara percuma sehingga 31 Dis serta memperluaskan penggunaan Kod QR SSM BizTrust kepada entiti Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) berdaftar yang boleh diperoleh secara automatik.

“Bagi inisiatif kelima, SSM meneruskan pelaksanaan inisiatif Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) yang diperkenalkan pada 2021 untuk menawarkan pendaftaran perniagaan secara percuma kepada usahawan kumpulan B40 dan pelajar Institut Pengajian Tinggi sepenuh masa,” katanya.

Menurut Nor Azimah, pada tahun ini, syarat SPPP diperluaskan kepada pasangan suami dan isteri usahawan B40 untuk menggalakkan isi rumah usahawan kumpulan tersebut menjadikan perniagaan sebagai salah satu sumber pendapatan dalam mendepani cabaran ekonomi masa kini.

Sementara itu, di bawah inisiatif keenam, SSM meneruskan pelaksanaan Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P) yang menyediakan pendaftaran dan pembaharuan perniagaan secara percuma bagi menggalakkan golongan Orang Kurang Upaya menceburi bidang perniagaan secara sah.

“Bagi inisiatif ketujuh, SSM akan meneruskan cadangan pindaan untuk menambah baik peruntukan-peruntukan di bawah Akta Syarikat 2016 berkaitan mekanisme penyelamat korporat dan skim kompromi atau perkiraan,” katanya.

Nor Azimah berkata penambahbaikan serta pindaan itu akan membolehkan syarikat-syarikat yang menghadapi masalah kewangan memohon proses rehabilitasi korporat yang bersesuaian agar syarikat boleh terus beroperasi.

Katanya, inisiatif tersebut penting untuk membantu sektor korporat yang menghadapi masalah kewangan, terutama  akibat kesan pandemik COVID-19 agar kekal beroperasi dan menjana ekonomi negara.

“Rang Undang-Undang ini juga akan memperkenalkan peruntukan mengukuhkan polisi berhubung kerangka pelaporan pemunyaan benefisial yang komprehensif,” katanya.

Selain itu, Nor Azimah berkata melalui inisiatif kelapan, SSM akan meneruskan cadangan untuk memperkenalkan peruntukan-peruntukan berkaitan mekanisme penyelamat korporat di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012.

Beliau berkata peruntukan-peruntukan ini bertujuan untuk menambah baik kerangka perundangan sedia ada berkaitan rehabilitasi korporat bagi entiti PLT.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan