AM > BERITA

Sambutan Hari Kebangsaan 2024 Bermula

31/08/2024 07:06 AM

PUTRAJAYA, 31 Ogos (Bernama) -- Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 dengan tema 'Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka' bakal berlangsung di Dataran Putrajaya di sini untuk tontonan rakyat bermula 8 pagi ini.

Setiap tahun rakyat tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama pasti berhimpun untuk tujuan yang sama iaitu menyemarakkan semangat patriotik.

Sambutan tahun ini diserikan dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah selain kehadiran barisan Jemaah Menteri serta perwakilan asing.

Sambutan kemuncak itu menyajikan perbarisan dan perarakan melibatkan lebih 17,000 peserta, 59 kontinjen, 24 pasukan pancaragam serta 439 aset ketenteraan.

Antara kelainan sambutan kali ini ialah perbarisan Kontinjen Komuniti Malaysia MADANI yang diterajui Kementerian Perpaduan Negara dengan memperagakan pakaian etnik lengkap beraksesori bagi melambangkan kepelbagaian budaya masyarakat di negara ini. 

Keunikan kontinjen itu ditonjolkan melalui alatan dan persembahan khas sebagai simbolik perpaduan masyarakat antaranya kumpulan kompang, chingay, tarian naga dan singa, tarian merak, perarakan kuda serta pahlawan Bajau sekali gus mewarnai sambutan kali ini.

Selain itu, kekuatan aset pelbagai agensi antaranya Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Agensi Penguatkuasaan Maritim turut ditonjolkan bagi mencerminkan kesiapsiagaan pasukan keselamatan dalam menjaga kedaulatan negara.

Persembahan tarian bertajuk 'Cuci Rasuah' turut dipersembah sebagai penutup tirai majlis yang mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan membanteras gejala rasuah.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan