AM > BERITA

Pancaragam Tentera Darat Buka Tirai Perbarisan Dan Perarakan Hari Kebangsaan

31/08/2024 09:37 AM

PUTRAJAYA, 31 Ogos (Bernama) -- Pancaragam Pusat Latihan Muzik Tentera Darat (Puzida) yang diketuai Kapten Mohd Rizuan Ramzi mendahului perarakan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya hari ini.

Dimulakan dengan perarakan Kontinjen Kenegaraan seawal 8.16 pagi, ia merangkumi pembawa Jalur Gemilang besar berukuran 80x40 kaki oleh 100 pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia diikuti pembawa bendera-bendera negeri oleh 333 peserta.

Kontinjen Komuniti Malaysia MADANI yang diselaraskan Kementerian Perpaduan Negara pula dilihat menampilkan keunikan kepelbagaian kaum termasuk pakaian tradisional, muzik dan tarian kebudayaan masing-masing.

Kontinjen Kesejahteraan ialah kontinjen terbesar melibatkan 5,091 individu daripada pelbagai agensi dan kementerian antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Kontinjen Kesejahteraan merangkumi perarakan kereta berhias, pancaragam oleh Jabatan Imigresen dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta pameran kenderaan operasi pasukan khas pertahanan awam termasuk special rescue vehicle, communnication rescue vehicle dan rapid rescue vehicle.

Acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2024 dijayakan oleh 17,262 peserta, 57 kontinjen, 22 pasukan pancaragam, 343 aset darat, 37 aset udara dan 112 haiwan dalam perkhidmatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan