AM > BERITA

Tanah Jerlus: Operasi SAR Dihentikan, Kini Masuki Fasa 'Search And Recovery'

31/08/2024 05:33 PM

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India dihentikan dan kini memasuki fasa 'search and recovery.'

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan pakar dan keputusan Kabinet. 

"Kita mendapatkan pandangan dari sudut pakar sebelum mengambil apa-apa keputusan setelah kita kumpulkan semua kepakaran termasuk pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia), pihak (Jabatan) Bomba (dan Penyelamat Malaysia), DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur), IWK (Indah Water Konsortium), rakan geologi kita dan agensi-agensi lain… kita ambil keputusan untuk menghentikan SAR hari ini,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian hari ini.

Pada 23 Ogos lepas, mangsa yang dikenali sebagai G.Vijaya Lakshmi, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus pada 8.22 pagi.

Dr Zaliha berkata antara faktor yang membawa kepada penamatan operasi itu ialah isu keselamatan serta risiko kepada anggota pasukan SAR dan keselamatan kawasan di sekitar lokasi insiden.

Beliau berkata susulan itu, pihaknya akan melakukan pemetaan utiliti dan kajian struktur tanah di seluruh Kuala Lumpur.

“Kita juga akan melakukan libat urus dengan peniaga di sini untuk kita bantu mereka teruskan aktiviti biasa. Kita juga minta DBKL melakukan pemulihan dan pembinaan semula di kawasan yang terlibat ini,” katanya.

Dr Zaliha berkata pihaknya telah mengenal pasti kawasan berjarak 100 meter dari pintu gerbang Masjid India ke pusat beli-belah Mydin untuk dilakukan proses baik pulih itu.

Beliau juga berkata pihaknya dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi India telah memaklumkan kepada keluarga mangsa penamatan operasi itu dan mereka memahami keputusan tersebut.

Dr Zaliha berkata pihaknya akan turut membantu menguruskan pelanjutan visa keluarga mangsa jika perlu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan