AM > BERITA

Keracunan Makanan: Kantin SK Chepor Diarah Tutup 14 Hari

26/09/2024 02:48 PM

IPOH, 26 Sept (Bernama) -- Kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Chepor di sini, diarah tutup selama 14 hari hingga 8 Okt ini selepas 101 murid mengalami keracunan makanan.

Pengarah Kesihatan Negeri Perak Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata arahan penutupan di bawah Seksyen (11) Akta Makanan 1983 dikeluarkan selepas penilaian terhadap kantin sekolah berkenaan didapati berada pada tahap tidak memuaskan selain merekodkan penarafan sekitar 67.9 peratus.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada minuman bancuhan berperisa coklat dan ayam goreng yang disediakan di dapur kantin itu.

"Murid mengadu bahawa minuman berperisa coklat yang dijual pada 24 Sept lepas berbau masam semasa diminum manakala ayam goreng didapati tidak dimasak dengan sempurna dan sebahagian daging ayam masih mentah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata agen disyaki menyebabkan keracunan berkenaan ialah Salmonella spp, berdasarkan gejala dan tempoh inkubasi kes.

Beliau berkata Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta semalam telah menerima notifikasi melalui sistem eNotifikasi mengenai lima murid SK Chepor yang menunjukkan gejala keracunan makanan seperti cirit, muntah, sakit perut dan demam telah menerima rawatan di dua fasiliti kesihatan di sekitar bandar raya ini.

“Makluman mengenai kejadian keracunan makanan ini juga diterima daripada guru SK Chepor melalui telefon. Unit Kawalan Penyakit Berjangkit PKD Kinta telah menjalankan verifikasi dan siasatan lapangan di SK Chepor hari yang sama sekitar 10.30 pagi.

“Hasil siasatan, sebanyak 96 orang (kes) lagi telah dikesan hingga 5 petang, menjadikan jumlah keseluruhan kes adalah 101 orang (50 murid perempuan, 51 lelaki) daripada 1,054 orang yang terdedah termasuk murid, guru, dan staf sokongan lain,” katanya.

Dr Feisul Idzwan berkata seorang murid telah dimasukkan ke wad Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini dan berada dalam keadaan stabil, manakala 62 lagi dirawat sebagai pesakit luar di klinik kesihatan dan klinik swasta berhampiran rumah masing-masing.

Baki murid katanya didapati hanya mengalami simptom ringan dan berehat di rumah masing-masing serta berada dalam keadaan stabil.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan