AM > BERITA

Ketua Jabatan Berdepan Tindakan Tatatertib Jika Gagal Laksana Pusingan Kerja - KPPA

26/09/2024 02:45 PM

PUTRAJAYA, 26 Sept (Bernama) -- Semua ketua jabatan berdepan tindakan tatatertib sekiranya gagal melaksanakan pusingan kerja di kementerian atau jabatan masing-masing bermula Oktober ini.

Ketua Pengarah Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata langkah berkenaan sebagai usaha memastikan setiap kementerian serta jabatan berupaya meningkatkan penyampaian perkhidmatan secara optimum dan berkesan.

Beliau berkata saranan itu juga merupakan satu daripada inisiatif yang disasarkan dalam Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam selari dengan Surat Edaran Pelaksanaan Urusan Pusingan Kerja dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 14 Mei lepas.

“Semua ketua jabatan hendaklah memandang serius terhadap pelaksanaan pusingan kerja di kementerian dan jabatan masing-masing. Ketua jabatan perlu mengenal pasti dan melaksanakan pusingan kerja terhadap pegawai yang wajar ditukarkan bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan sentiasa dinamik dan menepati kehendak semasa.

"Kegagalan dalam melaksanakan pusingan kerja boleh disifatkan sebagai cuai dalam melaksanakan tugas dan tidak bertanggungjawab. Ketua jabatan boleh dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan 4, Peraturan- Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993]," katanya kepada Bernama hari ini.

Wan Ahmad Dahlan berkata pusingan kerja merupakan elemen penting dalam pengayaan dan peluasan tugas yang menyumbang kepada kemajuan kerjaya pegawai awam dari segi peningkatan kompetensi, pengalaman dan motivasi.

Selain itu, beliau berkata langkah ini juga dapat membendung dan menangani masalah prestasi kerja, ketirisan dana awam, penyalahgunaan kuasa dan amalan rasuah.

“JPA akan terus memantau dan menilai pelaksanakaan pusingan kerja ini untuk memastikan matlamat yang diharapkan tercapai,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan