AM > BERITA

Jadikan Kesusahan Hidup Pembakar Semangat Cipta Kehidupan Lebih Baik

26/09/2024 04:22 PM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Para pelajar dinasihat supaya tidak menjadikan kesusahan keluarga sebagai penghalang untuk mencapai cita-cita, sebaliknya dijadikan pembakar semangat mencipta kejayaan bagi kehidupan lebih baik pada masa hadapan.

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata dalam era serba mencabar terutama kos sara hidup yang agak tinggi, pendidikan merupakan satu jalan penting bagi mengubah nasib dan membantu keluarga keluar daripada belenggu kemiskinan.

"Tanpa pendidikan yang sempurna, mungkin agak sukar untuk anak-anak ini membina masa depan lebih baik, mungkin tidak mudah untuk mencari arah terutama pekerjaan yang lebih baik dan membantu keluarga yang rata-rata golongan kurang berkemampuan ataupun miskin bandar," katanya ketika berucap semasa merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Awal Pengajian di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di sini hari ini. 

Seramai 200 pelajar menerima bantuan pada hari ini terdiri daripada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang telah mengikuti bengkel SPM anjuran Bersama Parlimen Bandar Tun Razak dan Yayasan Bank Rakyat.

Mengenai Bantuan Awal Pengajian itu, Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata ia adalah inisiatif untuk membantu pelajar-pelajar kurang berkemampuan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. 

Beliau berkata setiap pelajar menerima RM500 dan pada hari ini sebanyak RM100,000 disalurkan.

“Saya berharap bantuan yang disumbangkan ini dimanfaatkan sebaiknya demi kelangsungan pelajaran anak-anak semua ke peringkat lebih tinggi dan manfaatkan peluang yang ada untuk belajar bersungguh-sungguh,” katanya sambil berharap lebih banyak yayasan atau syarikat korporat tampil memberi sumbangan. 

Selain itu, Dr Wan Azizah berkata kira-kira 230 ketua isi rumah berdaftar dalam sistem eKasih menerusi Program Pembasmian Miskin Tegar Parlimen Bandar Tun Razak pada tahun lalu. 

“Isi rumah berdaftar itu belum termasuk golongan sederhana yang turut memerlukan bantuan terutama yang melibatkan pendidikan anak-anak. Saya percaya ramai di antara keluarga ini tidak kira yang miskin atau sederhana, anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran,” kata Wan Azizah. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan