AM > BERITA

Malaysia Sasar Status Hab AI Global Susulan Pelaburan RM29.2 Bilion AWS - PM Anwar

27/09/2024 11:27 AM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Kerajaan komited dalam memajukan transformasi digital dan ekonomi digital negara sebagai komponen penting dalam memacu kerumitan ekonomi perindustrian Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam hantaran terbaharu di platform X, Anwar menegaskan adalah menjadi objektif kerajaan untuk meletakkan Malaysia sebagai hab kecerdasan buatan (AI) generatif terkemuka, baik di peringkat serantau serta global dengan mengukuhkan infrastruktur digital menerusi kerjasama dengan pelabur serta rakan niaga.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut menyifatkan Amazon Web Services (AWS) iaitu anak syarikat Amazon.com Inc, berperanan sebagai rakan yang teguh dalam perjalanan transformasi digital negara.

“Pelancaran AWS Wilayah Asia Pasifik serta pelan pelaburan 15 tahunnya, jelas memaparkan komitmen jangka panjang AWS yang tidak berbelah bahagi terhadap Malaysia," kata beliau.

Anwar berkata pelaburan AWS bernilai RM29.2 bilion dalam projek Wilayah AWS (Malaysia) diunjur menyumbang sebanyak RM57.3 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tempoh 2024 hingga 2038.

Impak pelaburan di Malaysia itu juga dijangka menjana lebih 3,500 pekerjaan secara langsung daripada pusat data baharu, kata Perdana Menteri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan