AM > BERITA

Banjir: Agensi KUSKOP Tawar Moratorium Bayaran Balik Pinjaman

27/09/2024 02:35 PM

PUTRAJAYA, 27 Sept (Bernama) -- Agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menawarkan beberapa inisiatif dan moratorium bagi mengurangkan beban usahawan yang terkesan ekoran banjir di utara Semenanjung.

Antaranya Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional yang menawarkan moratorium hingga enam bulan kepada usahawan yang menghadapi kesukaran membayar balik pembiayaan akibat terkesan dengan banjir.

"Selain itu, usahawan TEKUN yang terjejas dengan banjir dibenarkan untuk mengeluarkan simpanan dalam akaun pembiayaan mereka dan boleh membuat penjadualan semula pembiayaan," menurut KUSKOP dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut KUSKOP, usahawan TEKUN yang mengalami kerosakan premis perniagaan dan stok barangan juga boleh memohon pembiayaan bertindih untuk memulakan semula perniagaan yang terjejas.

"Hingga kini 98 usahawan TEKUN di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis dikenal pasti terjejas akibat bencana banjir dengan anggaran kerugian RM383,000," menurut kenyataan itu.

Selain itu, KUSKOP memaklumkan Bank Rakyat juga menawarkan penangguhan sementara bayaran ansuran bulanan untuk tempoh hingga enam bulan sepanjang tempoh pembiayaan.

Antara produk yang ditawarkan menerusi kemudahan itu ialah Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pajak Gadai-i, Pembiayaan Pendidikan-i dan Pembiayaan Mikro-i.

Menurut kenyataan itu Perbadanan Nasional Bhd (PERNAS) pula menawarkan bantuan banjir berbentuk moratorium tiga hingga enam bulan untuk bayaran ansuran bulanan tertakluk kelulusan pengurusan.

"Selain itu, atas dasar keprihatinan agensi KUSKOP iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pula menyampaikan sumbangan bantuan banjir berupa Bakul Makanan di Kedah dan Melaka bernilai RM40,000," menurut kenyataan itu.

Penyerahan sumbangan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

KUSKOP memaklumkan usahawan yang terjejas boleh hubungi pejabat cawangan agensinya yang berhampiran bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif yang ditawarkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan