AM > BERITA

Satu PPS Baharu Dibuka, Mangsa Banjir Di Kedah Terus Meningkat

29/09/2024 08:55 PM

ALOR SETAR, 29 Sept (Bernama) -- Satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Kota Setar dengan jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 917 orang daripada 293 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 765 orang daripada 253 keluarga petang tadi.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS yang baharu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Merah di Kota Setar menempatkan 31 orang daripada tujuh keluarga, menjadikan jumlah lapan PPS beroperasi di negeri ini.

Daerah Pokok Sena masih mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 601 orang daripada 184 keluarga ditempatkan di empat PPS iaitu Maahad Tarbiyah Islamiyah Derang, Dewan Serbaguna Pokok Sena, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Hijau Mukim Derang dan Masjid Nurul Iman Batu 14 Jalan Lampam.

Di Kubang Pasu pula, seramai 285 orang daripada 102 keluarga ditempatkan di tiga PPS iaitu SMK Changlun, Dewan Lubuk Batu dan SK Bandar Baru Darul Aman.

Berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), setakat 8 malam ini, paras Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Kubang Pasu; Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Kota Setar dan Sungai Perik di Kampung Perik, Padang Terap telah melepasi paras bahaya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan