BERITA TERGEMPAR   Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | 
 AM > BERITA

Impian Krismas Eropah Menanti Di Suria KLCC, Alamanda, Mesra Mall

28/11/2024 11:54 AM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Tiga pusat beli-belah ikonik - Suria KLCC di ibu negara, Alamanda di Putrajaya dan Mesra Mall di Kemaman - mempelawa pengunjung untuk merasai pengalaman keajaiban Kampung Krismas Eropah sebagai sebahagian daripada sambutan perayaan Krismas tahun ini.

Dalam kenyataan bersama hari ini, ketiga-tiga pusat beli-belah itu akan menganjurkan pelbagai aktiviti dari 22 Nov hingga 25 Dis (Suria KLCC), 22 Nov hingga 1 Jan 2025 (Alamanda) dan 5 hingga 31 Dis (Mesra Mall) yang menawarkan banyak peluang kepada pengunjung untuk bergembira, berkongsi keceriaan serta menawan keajaiban musim perayaan ini.

Laman ‘Centre Court’ Suria KLCC akan ditransformasikan menjadi sebuah pasar percutian yang indah, menampilkan gerai-gerai menarik dalam rekaan bingkai bangunan kayu tradisional Eropah dengan pengunjung akan menemui kedai bunga, bakeri, kedai mainan dan kedai menjual hadiah di dalam kampung ini yang setiap daripadanya menawarkan pengalaman mempesona.

"Tambah mempesonakan, kampung ini turut menampilkan kereta kuda yang dihias indah, mencipta latar belakang sempurna untuk foto-foto yang sesuai dimuat naik ke Instagram.

"Keajaiban ini lebih memukau dengan pokok Krismas ikonik setinggi 100 kaki (30 meter) di Esplanade KLCC, yang sekali lagi bergemerlapan dengan hiasan dan kilauan lampu, menjadi tumpuan utama kemeriahan sambutan ini,” menurut kenyataan itu.

Pesta keriangan ini juga menampilkan sesi bertemu dan bergambar Santa Klaus, alunan keriangan penyanyi Krismas, serta persembahan tarian perayaan pada setiap Sabtu dan Hari Krismas.

Suria KLCC juga menawarkan lebih nilai kepada pelanggan pada musim perayaan ini dengan mereka yang berbelanja RM2,500 ke atas dalam dua resit akan menerima e-baucar beli-belah Suria KLCC bernilai RM100 melalui Program Ganjaran Pembeli.

Selain itu 50 pembeli pertama yang membeli e-baucar bernilai RM1,000 akan menerima tambahan RM100 e-baucar, menjadikan pengalaman membeli-belah lebih lumayan.

Sementara itu di Alamanda Putrajaya, semangat perayaan diteruskan dengan pelbagai acara hiburan menarik termasuk tarian Krismas, persembahan kumpulan muzik, aksi jugel dan pertunjukan silap mata pada setiap Sabtu dan Ahad dari 14 hingga 25 Dis.

Keluarga dengan anak kecil boleh menantikan pelbagai aktiviti VIKids yang menyeronokkan seperti menghias kek cawan Krismas, membuat dekorasi kayu dan mewarna bertemakan percutian yang dianjurkan setiap Sabtu dan Ahad dari 21 hingga 29 Dis.

Kenyataan itu menyebut mereka yang berbelanja lebih RM500 akan menerima e-baucar Alamanda bernilai RM30, manakala pembeli yang berbelanja RM1,500 atau lebih akan mendapat e-baucar bernilai RM80.

Di Mesra Mall pula, keluarga boleh menikmati Bengkel Topi Santa pada 14 Dis, diikuti Pertandingan Kostum Kisah Dongeng pada 21 Dis dengan peserta boleh berpakaian seperti watak kegemaran mereka untuk memenangi hadiah.

Pada Hari Krismas, dua sesi pemberian belon Krismas berlangsung pada 2 petang dan 4 petang yang akan menceriakan si kecil. Keceriaan diteruskan dengan Bengkel Sains VIKids dari 25 hingga 29 Dis, yang menawarkan lima stesen sains interaktif dalam sebuah makmal mini.

“Peserta mestilah ahli VIKids dan menunjukkan resit tunggal dengan perbelanjaan minimum RM100 dan setiap resit membolehkan sehingga tiga kanak-kanak bagi setiap keluarga menyertai bengkel pada mana-mana hari yang ditentukan.

“Melalui Program Ganjaran Pembeli, mereka yang berbelanja RM350 ke atas dalam dua resit akan menerima hadiah eksklusif iaitu Periuk Labu 8L,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan