AM > BERITA

NADSAR Bakal Pacu Ekosistem Sukan Dron Di Malaysia

29/11/2024 07:14 PM

CYBERJAYA, 29 Nov (Bernama) -- Pelan Hala Tuju Strategik Sukan Dron Negara (NADSAR) diperkenalkan hari ini bagi memacu ekosistem pembangunan sukan dron sekali gus melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam industri dron yang semakin berkembang di Malaysia. 

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi berkata pelan dibangunkan Futurise Sdn Bhd itu menetapkan haluan dan pelaksanaan sukan dron dengan lebih komprehensif termasuk peraturan tertentu yang perlu dipatuhi dalam penggunaannya. 

Menurutnya, penggunaan dron kini berevolusi dalam aktiviti sukan yang bakal menarik minat serta membuka mata masyarakat khususnya golongan muda tentang teknologi tinggi itu.

“Ketika ini ada perlumbaan dron, bola sepak dron dan kita mungkin mungkin boleh lihat lebih banyak lagi sukan-sukan dikembangkan daripada dron ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan NADSAR serta merasmikan DRIFT 2024: Drone Hub Innovation for Future Talents di sini hari ini. 

Pada majlis itu, Mohd Najwan turut menyaksikan majlis pertukaran Surat Niat (LOI) antara Cyberview Sdn Bhd dan Drone Academy Asia serta Futurise dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Cyberview Sdn Bhd Kamarul Ariffin Abdul Samad dan Ketua Pegawai Eksekutif Futurise Rosihan Zain Baharudin.

Mohd Najwan berharap Institut Sukan Negara (ISN) dapat memberi sokongan dalam pembangunan sukan dron yang semakin berkembang di negara ini misalnya dalam sudut penganjuran pertandingan di pelbagai peringkat. 

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sering mengungkapkan tentang kepentingan untuk kita beradaptasi dengan perubahan teknologi sekarang ini terutama dari segi kecerdasan buatan (AI) dan sebagainya.

“Dron antara satu daripada inisiatif yang boleh kita teroka dan kembangkan lagi, yang penting adalah sejauh mana dron ini boleh memberikan nilai tambah dan manfaat kepada pembangunan anak muda dan negara secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, Rosihan Zain berkata pengenalan NADSAR penting bagi memastikan semua pihak bekerjasama dalam membangunkan sukan dron di pelbagai peringkat termasuk di sekolah dan universiti. 

Beliau berkata pelan itu menyemarakkan ekosistem sukan dron di Malaysia melalui satu tindakan bersama dengan pihak yang mengawal selia teknologi dron serta badan sukan berkaitan di negara ini.

“(Melalui NADSAR kita) bersama dengan akar umbi khususnya golongan belia untuk memberi pendedahan dan juga latihan supaya mereka dapat menceburkan diri dalam sukan dron,” katanya.

Beliau berkata pihaknya telah melatih lebih 200 belia mengenai teknologi dron sekali gus menunjukkan perkembangan sukan dron amat menggalakkan.  

“Respons mereka sangat memberangsangkan kerana apabila melalui program latihan kami, belia bukan sahaja belajar tentang penerbangan dron tetapi teknologi berkaitan dengan dron contohnya percetakan 3D dan reka bentuk perisian.

“Elemen dalam sukan dron ini dapat menimbulkan minat yang besar untuk mereka lebih terlibat dalam bukan sahaja sukan dron tetapi dalam sektor dron itu sendiri,” katanya.

Mengenai LOI dengan UMPSA, Rosihan Zain berkata pemeteraian LOI itu membolehkan satu modul latihan dalam talian dibangunkan bagi membolehkan lebih banyak pihak mendapat manfaat dalam aktiviti dron.

“Latihan-latihan dalam talian ini membolehkan kita untuk menjangkau dan sampai kepada kelompok lebih besar khususnya belia,” katanya.

Terdahulu, Kamarul Ariffin dalam ucapannya berkata Cyberview amat berbesar hati dapat bersama-sama memainkan peranan dalam pembangunan sukan dron sekaligus menyumbang kepada daya tahan dan kelestarian ekonomi negeri Selangor. 

“Ini kami sumbangkan melalui penyediaan lanskap teknologi termasuklah dari segi infrastruktur dan dokongan terhadap syarikat tunas rintisan (startups) dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam bidang teknologi dron di Cyberjaya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan