AM > BERITA

5,000 Akaun Pengguna Hadapi Gangguan Air Akibat Banjir

29/11/2024 06:04 PM

KUALA NERANG, 29 Nov (Bernama) -- Kira-kira 5,000 akaun pengguna di Lubuk Merbau dan Nami di sini mengalami gangguan bekalan air susulan penutupan sementara dua loji rawatan air (LRA) semalam yang terjejas akibat banjir di daerah Padang Terap.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah Mohamad Yusoff Zakaria berkata dua LRA itu ditutup sementara selepas dilanda banjir berikutan hujan berterusan sejak beberapa hari lepas.

“SADA (Syarikat Air Darul Aman) telah mengaktifkan pelan kontingensi dengan mengangkut air terawat ke kawasan terjejas melalui lori.

“Bagaimanapun, beberapa kawasan mungkin tidak dapat diakses kerana terputus laluan jalan raya,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Kuala Pai di sini, hari ini.

Beliau berkata beberapa LRA lain di negeri ini turut terjejas akibat banjir namun masih beroperasi walaupun tidak pada kapasiti maksimum.

Sementara itu, SADA dalam kenyataan hari ini memaklumkan paras sungai yang melibatkan pengoperasian LRA Bukit Pinang menunjukkan trend meningkat dan berisiko berlaku gangguan bekalan air melibatkan pengguna di daerah Kota Setar dan sebahagian Pokok Sena.

“Keadaan ini berikutan hujan lebat berterusan di hulu sungai. Sehingga kini, LRA terlibat masih beroperasi pada kapasiti 100 peratus tetapi SADA ingin menasihati pengguna supaya membuat persediaan yang diperlukan iaitu menyimpan air dan menggunakan air dengan berhemah,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Mohamad Yusoff berkata banjir yang melanda Padang Terap dan beberapa daerah lain di Kedah bukan berpunca daripada air yang dilepaskan daripada empangan utama di negeri ini, sebaliknya akibat hujan lebat yang berterusan sejak dua hari lepas.

“Apabila hujan lebat berterusan, lebihan air daripada empangan secara semula jadi akan melimpah ke sungai, jadi dakwaan bahawa banjir berpunca daripada tindakan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) melepaskan air daripada empangan di bawah seliaannya adalah tidak benar.

“Limpahan air ini juga tiada kaitan dengan banjir besar yang sedang melanda negara jiran, Thailand seperti yang didakwa orang ramai," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan