AM > BERITA

Sarawak Perlukan Tenaga Kerja Berkualiti Tinggi Untuk Sokong Industri Aeroangkasa

29/11/2024 11:26 PM

KUCHING, 29 Nov (Bernama) -- Sarawak memerlukan tenaga kerja berkualiti tinggi bagi menyokong misinya ke arah menjadi hab bagi industri aeroangkasa Malaysia.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata industri itu memerlukan individu yang amat mahir dalam teknologi.

“Apabila kita bercakap mengenai satelit, kita harus tahu cara membuat roket kerana anda memerlukan roket untuk pergi ke orbit. Selepas itu, satelit tersebut perlu dilengkapi cip yang boleh membaca apa yang ada di daratan dan menyimpan data.

“Itulah sebabnya Sarawak meminta Kolej Universiti i-CATS supaya mewujudkan fakulti aeroangkasa dan menjalinkan kerjasama dengan pakar antarabangsa untuk mengajar rakyat kita teknologi baharu ini.

"Ia sememangnya rancangan yang bercita-cita tinggi namun kita perlu memulakannya,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan SMD Semikonduktor di sini.

Pada 29 Julai lepas, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Kerajaan Persekutuan telah menyarankan agar Sarawak menjadi hab industri aeroangkasa Malaysia.

Tengku Zafrul berkata Sarawak telah menunjukkan potensi yang besar dalam industri itu terutama dari segi komitmen untuk melahirkan pekerja mahir bagi sektor berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan