AM > BERITA

Guna Perahu Lebih 50 Tahun Bantu Penduduk Kampung

30/11/2024 01:52 PM

PASIR MAS, 30 Nov (Bernama) -- Seorang penduduk kampung menggunakan perahu turun-temurun berusia lebih 50 tahun bagi membantu menghantar bekalan kepada penduduk di kawasan perumahannya yang terjejas dilanda banjir di Kampung Lati, di sini, semalam.

Ruslan Che Musa, 44, berkata perahu golek yang digunakan itu, milik bapanya yang kini berusia 78 tahun sebelum diberikan kepadanya beberapa tahun lepas.

“Perahu ini diperbuat daripada kayu seraya dan dibeli oleh ayah daripada seorang tukang kayu di kawasan ini dengan harga sekitar RM80 pada tahun 1970-an, dan seingat saya ayah juga turut akan membantu penduduk bila tiba banjir besar.

“Seingat saya sejak saya lahir di sini, sudah beberapa kali banjir besar berlaku di kawasan ini dan pada tahun ini saya dapati banjir juga agak teruk,” katanya kepada Bernama hari ini.

Ruslan berkata perahu sepanjang kira-kira 15 meter itu lasak dan mudah dikendalikan, membolehkannya menghantar bekalan kepada penduduk kampung seperti makanan dan air bersih, sementara pihak berkuasa menjalankan operasi mengeluarkan penduduk di kampung berkenaan.

“Ada juga penduduk di kawasan ini tidak mahu meninggalkan rumah mereka kerana tinggal di rumah dua tingkat yang tidak dinaiki air, dan saya turut membantu mereka untuk mendapatkan bekalan,” katanya.

Beliau juga sedang mempertimbangkan untuk memulihara perahu berkenaan bagi memanjangkan lagi usia perahu berkenaan, yang menurutnya mempunyai nilai tersendiri sebagai warisan keluarganya.

“Saya bercadang mahu membaiki termasuk mengecat perahu ini supaya ia tahan lebih lama, kerana ini ada perahu turun temurun dari ayah saya. Saya juga bercadang untuk memberi perahu ini kepada anak saya satu hari nanti jika ada yang berminat untuk menjaganya,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama hari ini di Kampung Lati, di sini, mendapati jalan untuk keluar dan masuk sudah terputus dengan air banjir dikatakan sudah naik melebihi paras tiga meter, di kawasan berkenaan.

Bot daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga dilihat melakukan beberapa pergerakan bagi mengeluarkan penduduk di kawasan berkenaan, namun ada yang tidak mahu meninggalkan kediaman kerana risaukan keselamatan harta benda mereka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan