BERITA TERGEMPAR   Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | 
 AM > BERITA

BERNAS Dukung Usaha Kerajaan Pastikan Beras Putih Import Dijual Pada Harga Lebih Rendah

30/11/2024 05:47 PM

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) sentiasa mendukung usaha kerajaan untuk memastikan Beras Putih Import (BPI) dijual pada harga yang lebih rendah bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Terbaharu, harga beras jenis itu di pintu gudang BERNAS di Semenanjung Malaysia diturunkan daripada RM3,000 kepada RM2,800 per tan metrik, berkuat kuasa esok selaras pengumuman Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu semalam.

BERNAS dalam kenyataan hari ini memaklumkan pada Mac lepas, pihaknya telah menurunkan harga BPI daripada RM3,200 kepada RM3,000 per tan metrik di Semenanjung Malaysia walaupun ketika itu trend harga beras jenis berkenaan masih berlegar di paras tertinggi dalam tempoh 15 tahun.

“Ia jelas membuktikan komitmen BERNAS yang sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta pemain industri bagi menjamin ketersediaan produk selain mendukung agenda keterjaminan makanan,” menurut kenyataan itu.

BERNAS turut memaklumkan Malaysia masih kekal menawarkan harga beras import terendah di rantau Asia Tenggara ketika ini.

Menurut BERNAS, pelarasan harga BPI berkuat kuasa esok sejajar pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat dan didorong faktor penurunan harga semasa pasaran beras dunia ekoran penarikan balik larangan eksport serta pemansuhan duti eksport bagi beras putih bukan basmati oleh kerajaan India baru-baru ini.

“BERNAS akan terus mengamalkan pendekatan proaktif dalam memantau keadaan pasaran global dan menyesuaikan harga mengikut keperluan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan