AM > BERITA

Golongan Belia India Perlu Manfaatkan Dana Di Bawah MITRA

01/12/2024 02:35 PM

GEORGE TOWN, 1 Dis (Bernama) -- Kaum India khususnya golongan belia perlu memanfaatkan secara optimum bantuan dan dana kerajaan yang ditawarkan di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Beliau berkata Majlis Belia India Malaysia (MIYC) memainkan peranan penting dalam melaksanakan program yang memberi manfaat kepada belia dan komuniti India.

“MITRA sebagai rakan strategik boleh menjadi jambatan antara komuniti dan kerajaan untuk memastikan setiap usaha membawa manfaat yang maksimum. 

“Saya percaya masa depan yang lebih cerah untuk komuniti India hanya boleh dicapai dengan kerjasama semua pihak,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Agung Tahunan MIYC di sini hari ini.

Beliau berkata ini adalah peluang memperkasa generasi muda dengan kemahiran, kepimpinan dan keyakinan yang diperlukan untuk menjadi pemimpin masa depan yang berwawasan. 

Beliau berkata belia adalah aset paling berharga sesebuah negara kerana golongan ini adalah pewaris kepimpinan serta pemacu inovasi, transformasi sosial dan pembangunan ekonomi. 

Lim berkata MITRA telah mengagihkan RM95.48 juta bagi pelaksanaan 11 program demi meningkatkan taraf hidup masyarakat India di negara ini.

“MITRA berfungsi sebagai pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi komuniti India terutama golongan B40. 

“Dengan sokongan daripada MITRA, pertubuhan seperti MIYC boleh menganjurkan program yang bertujuan memperkasakan belia dan komuniti secara keseluruhan,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan