AM > BERITA

SEDA Perkenal Studio Interaktif Yeepe, Perkukuh Kesedaran Tenaga Lestari

03/12/2024 10:03 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia hari ini melancarkan SEDA Yeepe Studio di Petrosains, The Discovery Centre, Suria KLCC, antara usaha memperkasakan kesedaran mengenai tenaga lestari dalam kalangan masyarakat. 

Studio itu merupakan sebahagian daripada Program Young Energy Explorer (YEEPE) yang diperkenalkan pada 2023, bertujuan mendidik masyarakat khususnya golongan muda mengenai kepentingan tenaga lestari.

SEDA Malaysia dalam kenyataan menjelaskan SEDA Yeepe Studio yang dibuka pada Mac 2024 telah berjaya menarik lebih 45,000 pengunjung. Studio itu menawarkan pengalaman pembelajaran interaktif dengan pelbagai aktiviti dan permainan santai yang direka untuk memperkenalkan konsep tenaga lestari secara lebih menarik dan mudah difahami.

“Dengan kolaborasi bersama Petrosains, penubuhan studio ini merupakan pendekatan interaktif dan menyeluruh dalam memastikan mesej tenaga lestari disampaikan kepada lebih ramai golongan masyarakat,” menurut kenyataan itu.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir menyempurnakan perasmian SEDA YEEPE Studio berkenaan. 

Studio itu memberi peluang kepada pengunjung, terutamanya golongan muda, untuk meningkatkan kreativiti mereka melalui aktiviti yang memperkukuh pemahaman berkaitan cabaran yang dihadapi dalam membangunkan sektor tenaga negara mapan.

Selain SEDA YEEPE Studio, program YEEPE turut melibatkan beberapa aktiviti utama yang memberi fokus membantu pengajaran dan pembelajaran subjek Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) dengan penekanan khusus kepada elemen tenaga lestari.

Program terbabit termasuk YEEPE Roadshow dengan penyertaan 160 pelajar dari empat sekolah terpilih di seluruh Malaysia, Petrosains RBTX Challenge 2023, iaitu program pertandingan peringkat kebangsaan dengan penyertaan lebih 3,000 pelajar dari pelbagai negara, bertemakan inovasi dalam tenaga lestari.

Sustainability Visit Experience dan Renewable Energy Video Competition pula melibatkan lawatan ke loji jana kuasa tenaga boleh baharu oleh 210 pelajar dari enam sekolah, serta penyertaan dalam pertandingan video tentang tenaga lestari. 

Program YEEPE ialah inisiatif Malaysia Energy Literacy Programme (MELP) yang dipengerusikan Akmal Nasrullah, bertujuan meningkatkan kesedaran dan kepekaan rakyat terhadap industri bekalan elektrik.

MELP memberikan pendedahan berkaitan tenaga boleh baharu, amalan cekap tenaga dalam kehidupan seharian, pilihan mobiliti hijau, mekanisme tarif dan pengebilan, serta krisis tenaga global.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan