AM > BERITA

Penduduk Rantau Panjang Guna Kreativiti Hadapi Banjir

05/12/2024 08:53 PM

PASIR MAS, 5 Dis (Bernama) -- Banjir yang melanda saban tahun membuatkan beberapa penduduk Kampung Lubok Gong, Rantau Panjang di sini tampil dengan ciptaan kreatif yang bermanfaat dan memudahkan urusan mereka ketika bencana.

Antaranya Rosdi Abdullah, 62, yang mendirikan laluan khas setinggi dua meter menggunakan papan dan besi perancah sebagai tiang bagi membolehkan ahli keluarganya berjalan kaki dari pintu rumah yang terletak di kawasan rendah ke kawasan jalan raya tanpa perlu meranduk banjir.

Beliau berkata laluan itu mengambil masa dua minggu untuk didirikan dengan dibantu anak serta menantunya dan siap sepenuhnya pertengahan bulan lepas.

“Setiap tahun sejak 2018, saya akan bina laluan ini untuk kemudahan keluarga dan kemudian membukanya selepas banjir, namun tahun ini saya cadang untuk biarkan dan akan kukuhkannya dengan konkrit di bahagian bawah untuk kegunaan musim banjir akan datang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Sementara itu, seorang penjual burung hiasan di kampung berkenaan Mohd Hirwan Faizal Che Rajiuon, 42, pula membina rumah rakit mini khusus untuk haiwan berkenaan yang ternyata dapat mengelakkan rugi besar akibat banjir.

Beliau berkata rumah rakit berbumbung seluas lebih dua meter persegi itu telah siap dibina sebelum banjir melanda dengan menggunakan tong, besi dan kayu untuk menempatkan lebih 30 ekor burung antaranya merbuk dan merbah jambul yang dianggarkan bernilai RM10,000.

“Alhamdulillah, semua burung selamat dan tiada yang hilang. Ketika air naik, saya telah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) bersama keluarga meninggalkan haiwan ini di dalam sangkar di atas rumah rakit.

“Pada hari biasa, burung-burung ini ditempatkan di dalam sebuah pondok di hadapan rumah dan jika dibiarkan di situ ketika banjir, pasti semuanya mati,” katanya dan memaklumkan haiwan ternakannya yang lain seperti ayam tidak sempat diletakkan di atas rumah rakit itu kerana air naik dengan pantas.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan