JERTIH, 7 Dis (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menganjurkan Program Jualan Ihsan MADANI dengan menawarkan jualan harga barangan keperluan harian yang rendah khusus kepada mangsa banjir.
Pengerusi FAMA Aminuddin Zulkipli berkata Jualan Ihsan MADANI merupakan program kesinambungan daripada Program Jualan Agro MADANI yang dilaksanakan pada musim Monsun Timur Laut (MTL).
“Hari ini kita adakan jualan di tapak AgroBazar Pasar Tani Kekal (PTK) Nyiur Tujuh membabitkan jualan pelbagai jenis barangan mentah dengan penjimatan harga antara 10 hingga 30 peratus, seperti jualan daging tempatan pada harga RM19.90 sekilogram sahaja oleh usahawan FAMA di sini.
“Komoditi produk jualan diperluas meliputi barang kawalan, produk segar dan produk keperluan asas terpilih,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Program Walkabout Jualan Ihsan MADANI di AgroBazar PTK Nyiur Tujuh, di sini hari ini.
Beliau berkata PTK Nyiur Tujuh juga merupakan satu-satunya PTK yang terkesan dengan musibah banjir di Malaysia, setakat ini.
Aminuddin berkata FAMA turut merancang untuk memperluas Jualan Ihsan MADANI ke negeri lain, namun belum ditetapkan bilangannya.
“Jualan seperti ini dapat membantu mengurangkan kos sara hidup yang tinggi khususnya kepada mangsa banjir dan membantu masyarakat setempat untuk mendapatkan barangan keperluan asas dengan harga berpatutan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata usahawan FAMA dari Lembah Klang turut menyalurkan sumbangan pelbagai barangan makanan bernilai RM15,000 untuk mangsa banjir di Terengganu.
Beliau berkata barangan berkenaan diserahkan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu untuk diagihkan kepada mangsa.
Dalam perkembangan lain, Aminuddin juga dimaklumkan bahawa Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menambah tempahan bilangan kit bantuan makanan daripada 60,000 yang disediakan FAMA sebelum ini susulan peningkatan bilangan mangsa banjir di negeri terlibat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial