KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang mengkaji cadangan untuk mewujudkan pusat latihan memandu bertingkat bagi menangani isu tunggakan permohonan latihan memandu yang semakin meningkat di ibu negara.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata cadangan berkenaan memerlukan kajian terperinci untuk menilai kesesuaian dan kebolehlaksanaan elemen-elemen latihan memandu seperti latihan belajar, berhenti dengan selamat, mendaki dan menuruni bukit, serta komponen lain yang perlu disediakan dalam struktur bangunan bertingkat.
"Memang terdapat cadangan terbabit yang telah diberikan kepada kami lengkap dengan reka bentuk serta struktur bertingkat, namun kami dalam proses mengkaji kesesuaian lokasi dan impaknya terhadap keberkesanan projek ini," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk Salehuddin Saidin yang ingin tahu sama ada kerajaan mempertimbangkan permohonan daripada pihak yang mengendalikan institut memandu untuk beroperasi di kawasan lebih kecil atau bangunan bertingkat bagi tujuan latihan memandu.
Hasbi berkata kajian itu turut menilai kesesuaian pelaksanaan bagi memastikan cadangan berkenaan memenuhi piawaian keselamatan dan keberkesanan dalam menghasilkan pemandu yang kompeten.
Menjawab soalan sama ada kerajaan mempertimbangkan pemberian insentif kepada pihak pengendali institut latihan memandu yang menghadapi pelbagai kekangan dalam operasi termasuk berkaitan kos, beliau berkata cadangan pemberian insentif itu satu cadangan yang baik.
“Kita akan berbincang dengan pihak berkuasa yang berkaitan terutamanya Kementerian Kewangan untuk membincangkan berkenaan insentif itu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial