AM > BERITA

WARTAWAN ASEAN MENELUSURI KEKAYAAN WARISAN, PENCAPAIAN MODEN INDIA MENERUSI LAWATAN PERTUKARAN MEDIA

10/12/2024 02:15 PM

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Program Pertukaran Media ASEAN-India 2024 yang menghimpunkan 13 wartawan dari ASEAN, melabuhkan tirainya pada 4 Dis selepas seminggu menjelajah dua bandar raya utama di India - New Delhi dan Mumbai.

Kesemua wartawan yang terlibat dalam edisi kelima program itu adalah dari Kemboja, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura dan Vietnam dengan mereka kali pertama menjejakkan kaki ke India. Sepanjang tujuh hari, mereka menyelami kepelbagaian dan kekayaan budaya di India, menjalin interaksi bermakna dengan penduduk tempatan dan merasai pengalaman sebenar India.

Antara sorotan program itu adalah lawatan ke Taj Mahal, satu daripada Tujuh Keajaiban Dunia dengan para wartawan terpegun melihat seni bina ikonik Indo-Islamik monumen berkenaan, yang meninggalkan kesan mendalam kepada peserta.

Di Mumbai, delegasi dibawa meneroka Gua Elephanta di Pulau Elephanta, yang menempatkan kuil-kuil kuno yang didedikasikan kepada Dewa Shiva. Tapak Warisan Dunia UNESCO ini memberikan gambaran yang tidak dapat dilupakan mengenai sejarah spiritual dan kebudayaan India.

Kumpulan itu juga melawat kompleks studio filem antara terbesar di India, The Mumbai Film City atau Dadasaheb Phalke Chitranagari, yang ditubuhkan pada 1977 dan mereka diberi pendedahan mengenai tugas-tugas di belakang tabir industri filem India yang maju dan mempunyai impak global.

Para wartawan juga meneroka perkembangan utama yang membentuk ekonomi moden India, seperti Pelabuhan Mazagaon Dock, Bursa Saham Bombay (BSE) dan National Payments Corporation of India (NPCI), yang mengawasi sistem pembayaran runcit negara itu.

Seorang daripada wartawan yang menyertai program ini, Karl Pineda Cordova dari Filipina menganggap lawatan berkenaan sebagai membuka mata dan memperkaya pengalamannya.

“Pengalaman ini membolehkan saya melihat India menerusi cara yang tidak dapat saya lihat melalui media sosial. Ia sungguh luar biasa untuk menghayati budaya ini dan mempelajari lebih lanjut mengenai negara yang luar biasa ini,” katanya kepada Bernama.

Nguyen Thi Thu Hien dari Vietnam berkongsi keterujaannya, menyatakan program berkenaan bukan sahaja membolehkannya meneroka kepelbagaian budaya India tetapi juga berinteraksi dengan rakan-rakan dari ASEAN.

“Ini kali pertama saya di sini, dan saya dapati India adalah negara yang sangat menarik. Saya juga seronok bertemu rakan-rakan wartawan dari negara ASEAN seperti Malaysia, Indonesia dan Singapura. Aktiviti luar dan peluang menjalin persahabatan dengan rakan-rakan wartawan ASEAN menjadikan pengalaman ini akan sentiasa diingati,” kata pengarang Voice of Vietnam.

Turut senada, wartawan Indonesia Taofiq Rauf yang memuji program itu kerana memupuk dialog antara budaya dan perkongsian pengetahuan.

“Program ini bermanfaat kerana kami boleh bertukar pengalaman, melihat secara langsung seperti apa yang menjadi sesuatu (kebanggaan) di India. Manfaat kedua adalah kami dapat berinteraksi dengan jurnalis yang berasal dari Asia Tenggara dan itu menjadi pengalaman yang baik buat kami kerana kami belajar bagaimana tatakelola komunikasi awam dari setiap negara untuk kami kemudian berkolaborasi di suatu masa kelak,” katanya.

Dianjurkan setiap tahun oleh Kementerian Hal Ehwal Luar India, program pertukaran ini bertujuan memperkukuh kerjasama media, mempromosikan dialog pelbagai hala dan membina kapasiti serantau melalui perkongsian pengetahuan. Ia juga bertujuan memupuk pemahaman yang lebih mendalam antara wakil media ASEAN dan India.

Hubungan rasmi ASEAN-India yang bermula sejak 1992, telah diperkukuh lagi dengan penandatanganan Perkongsian Strategik Komprehensif pada November 2022, menandakan babak baharu dalam hubungan dua hala India-ASEAN.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan