KEMENTERIAN KOMUNIKASI SOKONG INISIATIF PROMOSI MALAYSIA SEBAGAI LOKASI PENGGAMBARAN ANTARABANGSA - TEO
11/12/2024 03:35 PM
Teo Nie Ching
KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Kementerian Komunikasi melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), sentiasa menyokong serta melaksanakan pelbagai inisiatif untuk penggiat industri kreatif dalam mempromosikan Malaysia khususnya Pulau Pinang sebagai lokasi penggambaran filem dan program televisyen.
Timbalan Menterinya Teo Nie Ching berkata antara inisiatif yang dilaksanakan oleh FINAS termasuk pemberian Insentif Filem di Malaysia (FIMI) kepada produksi filem antarabangsa yang dijalankan di negara ini.
Beliau berkata insentif itu menawarkan rebat tunai sebanyak 30 peratus kepada produksi penggambaran filem atau program televisyen yang memenuhi syarat tertentu.
"Insentif ini bertujuan menarik syarikat produksi luar negara supaya memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran sekali gus mampu memberikan impak mempromosikan negara termasuk Pulau Pinang sebagai destinasi
penggambaran antarabangsa selain menyumbang kepada limpahan ekonomi industri kreatif tempatan.
“Bagi tempoh 2013 hingga 2023, FIMI telah menyumbang kepada nilai pelaburan negara sebanyak RM2.53 bilion dan membuka sebanyak 22,870 peluang pekerjaan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Dr A. Lingeshwaran yang bertanya tentang usaha kementerian mempromosikan Malaysia, khususnya Pulau Pinang sebagai lokasi penggambaran filem dan program televisyen serta langkah menarik penganjuran konsert di Malaysia.
Teo berkata kementeriannya bersama Unit Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL), komited dalam usaha menarik penganjuran konsert terutamanya yang melibatkan artis luar negara.
“PUSPAL juga menyediakan kemudahan permohonan secara dalam talian menerusi Sistem ePUSPAL untuk penganjur dan syarikat penggambaran filem tempatan membuat permohonan penggambaran filem asing dan persembahan artis luar negara,” katanya.
Selain itu, beliau turut memaklumkan inisiatif terbaharu yang diumumkan melalui Belanjawan 2025 iaitu pelaksanaan insentif Concerts And Events In Malaysia (CEMI), dengan peruntukan RM10 juta sebagai geran pembidaan untuk menarik artis luar negara mengadakan konsert di Malaysia.
Sementara itu, menjawab pertanyaan Senator Musoddak Ahmad mengenai langkah kementerian mengawal selia perkhidmatan Over-the-Top (OTT) melalui pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), Teo berkata kawal selia lebih terperinci akan dilaksanakan untuk memastikan kandungan pada platform OTT seperti Astro Go dan Netflix lebih bersesuaian.
Beliau berkata kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerbitkan Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia (Kod Kandungan) di bawah Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) yang menggariskan amalan terbaik dan piawaian etika untuk penciptaan serta penyusunan kandungan.
"Kod Kandungan menetapkan garis panduan untuk amalan terbaik dan piawaian kandungan di Malaysia termasuk dalam industri penyiaran dan kandungan yang dimuat naik ke laman Internet. Ia juga digunakan sebagai rujukan untuk tafsiran kesalahan di bawah Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta 588 dan pihak CMCF mengambil langkah proaktif untuk memberi kesedaran tentang kawal selia kendiri kandungan," katanya.
Teo turut memaklumkan bahawa bidang kuasa CMCF dan penguatkuasaan Kod Kandungan tidak meliputi platform OTT yang dihoskan di luar Malaysia, bagaimanapun semua perkhidmatan OTT yang beroperasi di negara ini masih tertakluk kepada undang-undang negara dan sebarang pelanggaran undang-undang di luar talian juga dianggap sebagai pelanggaran undang-undang dalam talian.
Dalam perkembangan lain, Teo berkata adalah penting bagi pembekal perkhidmatan rangkaian 5G kedua menggunakan khidmat kontraktor tempatan dalam menyediakan infrastruktur tersebut.
Beliau berkata setakat ini kementerian bersama MCMC tidak memperuntukkan syarat khusus bagi syarikat pembekal perkhidmatan 5G untuk memilih pembekal perkakasan.
Bagaimanapun, beliau percaya bahawa syarikat pembekal perkhidmatan perlu menguna pakai perkhidmatan kontraktor tempatan dan setakat ini projek rangkaian 5G kedua ini sememangnya mengguna pakai khidmat kontraktor tempatan.
"Selagi mana suatu pembekal peralatan itu tidak disenarai hitam oleh kerajaan, terpulang kepada pembekal perkhidmatan untuk memilih sesiapa yang mereka ingin bekerjasama," katanya yang menjawab soalan tambahan Senator Datin Ros Suryati Alang yang ingin tahu kontraktor bumiputera akan diutamakan dalam projek 5G melalui Digital Nasional Bhd (DNB).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial