AM > BERITA

SARAWAK PERLUAS CAPAIAN GLOBAL UNTUK MENGUBAH ASAS EKONOMI - ABANG JOHARI

11/12/2024 05:09 PM

KUCHING, 11 Dis (Bernama) -- Sarawak memberi tumpuan kepada peluasan capaian globalnya untuk memperoleh pengetahuan yang berkaitan dengan matlamat untuk mengubah asas ekonominya.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata bagi tujuan itu, Sarawak telah melaksanakan dasar dwibahasa, menggabungkan Bahasa Malaysia dan Inggeris untuk memastikan komunikasi yang berkesan dan akses yang lebih luas kepada pengetahuan global.

"Kami memerlukan ramai ahli teknologi yang terlatih dalam bidang sains, fizik, matematik dan bahasa," katanya ketika berucap pada Persidangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Kawasan Pertumbuhan Asean Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) Keempat di sini hari ini.

Beliau berkata negeri itu juga sedang mengembangkan cita-citanya dalam industri aeroangkasa memandangkan Kolej Universiti ICATS milik Sarawak kini menawarkan kursus ijazah dalam aeroangkasa dan bekerjasama dengan institusi antarabangsa untuk membangunkan kepakaran yang diperlukan bagi sektor itu.

“Pendigitalan juga dikaitkan dengan satelit, dan untuk itu, kita perlu mengetahui teknologi dalam aeroangkasa, satelit, roket, dan sebagainya untuk tujuan yang baik, bukan untuk peperangan, sebaliknya untuk kita meneroka sumber yang ada di planet ini," katanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata peranan TVET dalam merapatkan jurang kemahiran dan menyediakan tenaga kerja untuk masa depan adalah penting kerana permintaan untuk profesional mahir yang merentas semua sektor utama terus berkembang.

Dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalannya Datuk Francis Harden Hollis pada majlis itu, beliau berkata kementeriannya komited untuk melengkapkan belia dengan kemahiran yang diperlukan bagi berkembang maju dalam dunia digital yang pesat berubah.

"TVET memainkan peranan penting dalam menangani jurang kemahiran dan memastikan tenaga kerja bersedia untuk masa depan pekerjaan," katanya.

Kira-kira 500 delegasi dari Malaysia, Brunei, Indonesia, Filipina dan negara lain menghadiri Persidangan TVET BIMP-EAGA Keempat.

Persidangan itu, dengan tema "Membina Masa Depan Mampan Melalui TVET," menghimpunkan pemimpin, pakar, dan pemegang kepentingan utama daripada pelbagai sektor dan negara untuk membincangkan transformasi TVET yang sedang berlangsung.

-- BERNAMA



BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan