AM > BERITA

KDN MANFAATKAN KUARTERS KOSONG KPM TEMPATKAN ANGGOTA PDRM

12/12/2024 02:45 PM

PUTRAJAYA, 12 Dis (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menempatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kuarters milik Kementerian Pendidikan (KPM) yang kosong di seluruh negara awal tahun depan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata inisiatif berkenaan digerakkan memandangkan KPM mempunyai lebih 17,000 kuarters kosong dan ia mampu menampung keperluan kekurangan kuarters untuk anggota PDRM.

“Dalam (mesyuarat) Jemaah Menteri, diberitahu bahawa KPM ada 17,000 kuarters guru yang kosong, tak didiami. Di pihak polis pula, ada lebih kurang 9,000 anggota masih tak cukup kuarters.

“Jadi apa tindakan yang betul sebenarnya? Tindakan yang betul ialah bincang dengan KPM, boleh atau tidak lebihan kuarters yang tak diduduki itu didiami anggota polis,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KDN bagi  Disember di sini hari ini.

Pada 21 Nov lepas, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilaporkan berkata KPM menawarkan kuarters guru yang tidak berpenghuni untuk diduduki agensi kerajaan lain bagi memanfaatkan semula kemudahan itu.

Saifuddin Nasution dalam pada itu berkata KDN sedia mencari peruntukan bagi menampung kos membaik pulih kuarters terbabit supaya ia sesuai didiami oleh anggota polis serta keluarga mereka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan