AM > BERITA

KERAJAAN HARGAI INISIATIF MURNI SYARIKAT SWASTA, PEMPENGARUH BANTU MANGSA BANJIR

13/12/2024 10:17 PM

TAMPIN, 13 Dis (Bernama) -- Kerajaan amat menghargai sokongan dan inisiatif yang ditunjukkan oleh syarikat swasta serta individu perseorangan yang secara sukarela tampil membantu mangsa banjir di beberapa negeri yang terjejas kali ini.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menyeru lebih ramai lagi pihak swasta dan pempengaruh tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir terutama di kawasan yang sering ditimpa bencana itu.

"Terima kasih kepada mereka yang turun padang membantu tanpa sebarang gesaan. Saya percaya kerajaan sangat menghargai usaha individu atau kumpulan yang menjadi sukarelawan dalam melaksanakan inisiatif bagi meringankan beban mangsa banjir.

"Saya percaya menerusi prinsip Ihsan, sudah pasti kita galakkan ramai pihak tampil membantu, soal banjir ini bukan sahaja perlu ditangani oleh kerajaan tetapi semua pihak," katanya kepada pemberita pada program Skuad Ihsan MADANI Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang dianjurkan dengan kerjasama Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan Pejabat Perdana Menteri di Taman Pinggiran Felda Sungai Kelamah dekat sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan bantuan kepada 250 penduduk di taman perumahan itu yang berupa makanan dan barangan keperluan asas.

Turut hadir Ahli Parlimen Tampin Datuk Mohd Isam Mohd Isa, Pengerusi SKM Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal dan Naib Presiden Eksekutif MRCB Datuk Dell Akhbar Khan. 

Shamsul Iskandar juga berkata kerajaan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara telah mengambil langkah awal dari segala sudut bagi membantu rakyat menghadapi banjir termasuk kerjasama dengan kerajaan negeri terbabit.

Beliau berkata bantuan kepada rakyat terkesan termasuk pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di Negeri Sembilan akan disampaikan minggu depan oleh kerajaan negeri.

Ditanya mengenai tindakan pembangkang yang sentiasa mengkritik usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Shamsul Iskandar berkata rakyat lebih bijak menilai siapa yang lebih komited dalam membantu rakyat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan