GEORGE TOWN, 14 Dis (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merancang untuk memperkenalkan Undang-undang 'Good Samaritan', yang merupakan perlindungan undang-undang bagi menggalakkan individu membantu orang lain dalam situasi kecemasan tanpa rasa takut akan akibat tindakan undang-undang, seperti disaman kerana kecederaan yang tidak disengajakan semasa membantu.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata beliau akan membangkitkan perkara itu pada Mesyuarat Pasca Kabinet pertama minggu depan, kerana beliau merasakan Akta Good Samaritan itu memang perlu diwujudkan.
"Bagaimana ini akan berlaku dan apabila ini akan berlaku - kena tunggu.. yang penting kita akan buat ketetapan untuk dijadikan (seperti) yang dilakukan oleh negara-negara lain.
"Undang-undang Good Samaritan ini mesti dilaksanakan selewat-lewatnya dalam Sidang Parlimen ke-15 ini. Kita ada tiga tahun lagi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Community First Responder Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata banyak negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan beberapa negara Asia telah pun melaksanakan undang-undang berkenaan.
Di Malaysia pada masa ini tidak ada Undang-undang Good Samaritan khusus di peringkat kebangsaan, namun konsep itu telah dibincangkan dan dibahaskan sebagai sebahagian daripada perbincangan yang lebih luas mengenai kesihatan awam dan tindak balas kecemasan.
Pengenalan undang-undang sedemikian akan sejajar dengan matlamat Malaysia yang lebih luas untuk meningkatkan sistem tindak balas kecemasan dan meningkatkan kadar kelangsungan hidup bagi insiden seperti Serangan Jantung secara tiba-tiba (SCA).
Sementara itu Dr Dzulkefly berkata kadar kelangsungan hidup Malaysia untuk SCA adalah rendah, dengan kurang daripada satu peratus mangsa terselamat jika tiada tindakan diambil.
"Untuk setiap minit yang berlalu tanpa campur tangan, peluang untuk terus hidup menurun sebanyak 10 peratus. Keperluan untuk Community First Responders (CFR) terlatih tidak pernah lebih mendesak dan matlamat kita adalah mudah, untuk memperkasakan setiap rakyat dengan pengetahuan dan keyakinan untuk bertindak dalam keadaan kecemasan," katanya.
Menteri itu menegaskan bahawa Automated External Defibrillators (AED) adalah peranti menyelamatkan nyawa yang boleh meningkatkan kadar kelangsungan hidup mangsa SCA dengan ketara kerana 70 peratus daripada serangan jantung mengejut berlaku di luar hospital, yang menyaksikan faktor tempoh masa antara pesakit rebah dan defibrilasi adalah kritikal.
Sehubungan itu beliau berkata dengan setiap AED dipasang di ruang awam, ia memberi mangsa peluang kedua untuk terus hidup, sambil menambah bahawa Pulau Pinang telah menunjukkan kemajuan yang luar biasa dalam menjadi negeri 'selamat' disebabkan peletakan AED yang strategik di seluruh negeri.
Dr Dzulkefly berkata sehingga kini kira-kira 80,000 hingga 100,000 penyelamat awam telah dilatih di Pulau Pinang dan lebih 1,000 unit AED dipasang di negeri ini, dengan kira-kira 300 daripadanya boleh diakses orang awam.
"Selain itu terdapat 16 kes penyelamatan direkodkan sejak pemasangan AED. Dengan meniru kejayaan ini di seluruh negara, kita boleh mewujudkan Malaysia yang 'selamat', tiada siapa yang perlu menghadapi realiti menakutkan SCA bersendirian," tambahnya.
Beliau juga berkata KKM akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan untuk memupuk kemahiran latihan CPR di sekolah bagi memastikan Malaysia melahirkan generasi keseluruhan yang boleh memberikan bantuan CPR sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial