AM > BERITA

Berhimpun Di Tanah Kubur: Jangan Buat Spekulasi, Serah Pada Pihak Berkuasa - Mohd Na'im

29/12/2024 05:27 PM

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Semua pihak dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai tindakan sekumpulan individu berhimpun di sebuah pusara dalam kawasan Tanah Perkuburan Islam, Taman Ibukota, Setapak di sini semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata semua pihak dimohon untuk menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa agama Islam.

Beliau berkata Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah diarah menyiasat secara terperinci berhubung perkara berkenaan dan menegaskan pihaknya tidak berkompromi terhadap mana-mana perlakuan dan amalan yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam.

"Pihak yang mempunyai maklumat adalah dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat berkaitan kepada JAWI bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, tular satu video berdurasi 23 saat memaparkan sekumpulan individu berzikir secara pelik dan kuat di satu tanah perkuburan di Danau Kota, Setapak hingga mengundang kebimbangan masyarakat khususnya orang Islam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Mohamad Lazim Ismail mengesahkan pihaknya telah menerima satu laporan berhubung kejadian itu yang dipercayai berlaku kira-kira 10.05 pagi semalam sebelum video mengenainya tular pada petang hari yang sama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan