AM > BERITA

Jenazah Kanak-kanak 19 Bulan Selamat Dikebumikan Di Tanah Merah

27/02/2025 09:21 AM

TANAH MERAH, 27 Feb (Bernama) -- Jenazah kanak-kanak lelaki berusia 19 bulan Hud Aryan Mohd Nor Hafifi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Tiga di sini awal pagi tadi.

Suasana pilu menyelubungi pekarangan tanah perkuburan apabila hampir 100 orang termasuk ahli keluarga dan penduduk kampung mengiringi perjalanan terakhir anak tunggal itu, selepas jenazah disolatkan di Masjid Mukim Kuala Tiga kira-kira 1 pagi. 

Terdahulu, jenazah dituntut ahli keluarganya di Unit Forensik Hospital Tanah Merah setelah proses bedah siasat selesai sebelum dimandikan dan dikafankan. 

Bapa kepada Allahyarham Mohd Nor Hafifi Saidee, 34, menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua anggota pasukan keselamatan seperti polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta penduduk kampung yang bertungkus lumus mencari anaknya sejak tiga hari lepas.

"Saya dan isteri Azean Nur Atikah Ramley, 34, reda dengan pemergian arwah serta ingin ucapkan terima kasih kepada semua rakyat yang mendoakan kesejahteraan arwah Hud Ryan," katanya.

Pada Isnin, kanak-kanak itu dilaporkan hilang di Kampung Aira Kuala Tiga dan operasi pencarian turut dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Unit K9 serta penduduk kampung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan