AM > BERITA

Jabatan Kesihatan Kelantan Tutup Lima Premis Jual Makanan Didapati Kotor Di Tumpat

27/02/2025 08:36 PM

KOTA BHARU, 27 Feb (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Kelantan mengarahkan lima premis menjual makanan yang tidak memenuhi tahap kebersihan ditetapkan, ditutup selama 14 hari dalam Operasi Bersepadu Premis Bersih Siri 02/25 di sekitar Tumpat, semalam.

Pengarahnya Datuk Dr Zaini Hussin berkata arahan penutupan dilakukan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 susulan pemeriksaan oleh 65 penguat kuasa jabatan kesihatan ke atas 61 premis.

Beliau berkata hasil pemeriksaan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) itu juga, 91 notis Seksyen 32B telah dikeluarkan terhadap pemilik premis dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

"Antara kesalahan yang dikesan termasuk kebersihan pengendali makanan tidak memuaskan, premis tidak dikekalkan dalam keadaan bersih, penyimpanan, pendedahan dan pameran makanan tidak mengikut peraturan, penyimpanan makanan tidak mematuhi kehendak kebersihan dan lain-lain lagi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Zaini berkata semua notis yang dikeluarkan boleh diselesaikan melalui bayaran kompaun dalam tempoh satu bulan dari tarikh notis dikeluarkan, dan pemilik premis yang ingkar terhadap arahan penutupan boleh dikenakan tindakan undang-undang dengan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Mana-mana pemilik premis yang gagal mematuhi piawaian kebersihan akan diberi bimbingan dan arahan untuk mengambil tindakan pembetulan, sekiranya mereka masih gagal mematuhi arahan pada lawatan susulan, tindakan lebih tegas termasuk penutupan premis akan diambil,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan