AM > BERITA

MBDK Peruntuk RM144 Juta Jayakan Pelan Tindakan Mitigasi Banjir Sehingga 2030

27/02/2025 07:52 PM

KLANG, 27 Feb (Bernama) -- Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) memperuntukkan RM144 juta bagi melaksanakan Klang Sustainable Stormwater Plan (KLASS), iaitu pelan tindakan mitigasi banjir untuk tempoh lima tahun akan datang.

Datuk Bandar MBDK Datuk Abd Hamid Hussain berkata pelan itu adalah kesinambungan projek terdahulu (2021-2024) dan akan diteruskan secara berperingkat membabitkan baki 23 projek sehingga 2030.

"Secara keseluruhan pelan ini memerlukan kos RM182 juta, dengan RM38 juta daripadanya telah digunakan secara berhemah pada penggal lepas menerusi 54 projek mitigasi banjir.

"Bagi tempoh lima tahun pelaksanaan pelan ini, majlis akan bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk projek pelebaran sungai termasuk menaik taraf 32 kolam tadahan sedia ada serta membina kolam tadahan baharu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan KLASS 2025-2030 di sini hari ini.

Abd Hamid berkata antara kawasan yang menjadi tumpuan pelaksanaan pelan itu adalah Sungai Kapar Indah, Jalan Pekan Baru 26, Bandar Sentosa, Bandar Puteri, Bandar Putera, Taman Klang Utama, Taman Teluk Pulai, Taman Setia, Taman Gembira, Taman Palm Grove, Taman Chi Liung dan Taman Maznah.

Beliau berkata KLASS 2025-2030 mengandungi strategi pelaksanaan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang berhubung persediaan menghadapi bencana banjir.

"Saya percaya pelan tindakan ini akan membentuk hala tuju lebih mantap dan mengukuhkan gerak kerja MBDK dalam menghadapi cabaran mengurangkan masalah banjir di seluruh daerah Klang," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abd Hamid berkata majlis telah menyediakan peruntukan RM6 juta bagi melaksanakan kerja-kerja selenggara dan pemangkasan pokok di seluruh Klang dalam usaha mengelakkan kejadian pokok tumbang yang boleh meragut nyawa.  

Beliau berkata tender berhubung kerja-kerja itu telah diselesaikan dan akan diserahkan kepada kontraktor yang berjaya pada pertengahan Mac depan termasuk barisan arboris (pakar tumbuhan berkayu) yang dilantik.

Abd Hamid berkata khidmat arboris sangat diperlukan kerana agak sukar untuk menilai tahap keselamatan pokok dengan mata kasar terutamanya pada bahagian dalam pokok itu.

"Sekiranya pakar mengesyorkan pokok itu ditebang, kita akan tebang dan sekiranya pokok itu dalam keadaan baik tetapi boleh mendatangkan bahaya, kita akan laksanakan kerja-kerja pemangkasan dalam tempoh tiga hingga empat bulan," katanya.

--  BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan